Sebahagian daripada orang ramai beratur menunggu giliran untuk mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Seth, Yong Peng. GAMBAR: Abd Razak Aid

SAUDARA Pengarang

Proses penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 sudah tamat. Sekarang, calon-calon sudah sibuk meraih undi dengan harapan mendapat gelaran “Yang Berhormat” selepas 19 November nanti.

Inilah masanya pengundi akan dilayan seperti raja, walaupun hanya untuk tempoh dua minggu sahaja. Kuasa sekarang di tangan kita untuk memilih pemimpin yang akan menerajui negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Persoalannya, patutkah kita membuang undi berdasarkan parti atau berdasarkan individu? Di Malaysia, sejak sekian lama, pengundi lebih cenderung memangkah di kertas undi berdasarkan parti, bukan individu.

Fenomena ini bukan unik di Malaysia. Tetapi sudah tiba masanya pengundi Malaysia memberi lebih pertimbangan ke atas individu dan bukannya menyokong parti secara membuta tuli.

Pertembungan di kerusi Parlimen Sungai Buloh boleh dijadikan satu contoh. UMNO telah meletakkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk merampas kubu kuat pembangkang itu.

Satu naratif yang dimainkan oleh Pakatan Harapan di media sosial ialah Khairy atau KJ, perlu ditolak kerana mengundi beliau bermaksud membuang undi untuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menghadapi tuduhan rasuah. Kononnya kemenangan BN di sana juga boleh menjamin pembebasan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah dan salah guna kuasa.

Ini hujah “undi untuk parti, bukan individu” dan mempunyai banyak cacat cela. Pertama sekali, menafikan peluang kepada KJ bermakna menafikan rakyat Malaysia seorang tokoh yang berkebolehan.

Sejak menyandang menteri di Kementerian Belia dan Sukan di mana Temasya Sukan SEA KL 2017 dianjurkan di bawah telunjuk beliau, hinggalah pelancaran Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif kesihatan utama, KJ telah terbukti sebagai menteri yang cekap.

Jika kita menafikan peluang seorang pemimpin yang berkaliber seperti KJ untuk berkhidmat untuk rakyat Malaysia atas dasar fahaman politik, rakyat yang akan rugi. Bukankah tujuan demokrasi untuk membolehkan rakyat memilih pemimpin yang terbaik dan membela nasib mereka ?

Walaupun kita benci Zahid, kita tidak harus terlalu emosi dan perlu lebih strategik. Kita semua tahu, KJ tidak sehaluan dengan Zahid. Beliau pernah menentang Zahid dalam pemilihan UMNO yang lalu dan secara terbuka mengkritik Najib berhubung skandal 1MDB. Jika kita mahu melihat perubahan dalam UMNO, maka pemimpin seperti KJ perlu diberi ruang dan platform.

Dalam erti kata lain, jika nak “bunuh” Zahid secara politik, KJ perlu menang di Sungai Buloh. Kita perlu berfikiran strategik.

Sungai Buloh hanyalah contoh mengapa pengundi perlu memilih calon dan bukan parti. Hujah yang sama terpakai untuk setiap pertandingan dalam PRU akan datang, bukan hanya di Sungai Buloh.

Dalam setiap parti, ada pemimpin yang baik serta berkaliber, dan ada kambing hitam. Sebagai pengundi, tugas kita ialah ambil yang jernih dan buang yang keruh dan memilih secara lebih strategik demi manfaat rakyat.

Lokman Karim
Titiwangsa, Kuala Lumpur

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram