Calon Barisan Nasional Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin beramah mesra dengan orang ramai ketika mengadakan walkabout di Pasar Tani Kampung Melayu Subang. GAMBAR: Abd Razak Aid

SAUDARA Pengarang,

Mengapa menjelang setiap pilihan raya umum, pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) rata-rata akan bertanding di kerusi luar bandar atau separa luar bandar manakala pemimpin tertinggi Pakatan Harapan, di bandar?

Persepsi ini begitu menebal sehingga apabila Khairy Jamaluddin diletakkan di kerusi Sungai Buloh, sebuah kerusi bandar, pada pilihan raya umum akan datang, ada yang berpendapat bahawa Menteri Kesihatan dihantar ke sana untuk dikorbankan oleh karier politiknya.

Trend ini sudah berlarutan sejak sekian lama lagi dan ini bukan perkara baharu. Di dalam PRU kali ini, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mempertahankan kerusi Bagan Datuk, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Bera, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong di Ayer Hitam dan Presiden MIC Tan Sri A. Vigneswaran di Sungai Siput. Ini semua adalah kerusi bukan bandar.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Tambun, yang terletak bersebelahan bandar raya Ipoh, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke (Seremban) dan Presiden Amanah Mohamed Sabu (Kota Raja, berdekatan dengan Shah Alam dan Klang).

Sebab itu, saya kagum dengan keberanian Khairy yang berpindah dari kerusi luar bandar Rembau yang mana dia menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal, ke Sungai Buloh, yang terletak di pinggiran Kuala Lumpur.

Tetapi apakah pentingnya di kawasan mana pemimpin atasan politik bertanding? Ia penting kerana membawa kesan langsung ke atas dasar kerajaan dan kecenderungan politik yang boleh memberi impak besar kepada masa depan negara kita.

Baca artikel berkaitan: PRU-15: Khairy suara hasrat menjadi Presiden UMNO, Perdana Menteri pada masa depan

Jika sebahagian besar pemimpin tertinggi sesebuah blok politik hanya mewakili kerusi di luar bandar, mereka tentu akan cenderung mengutamakan pengundi di sana dan akan sedikit sebanyak mengabaikan sentimen masyarakat bandar. Sebagai contoh, mereka mungkin memberi lebih fokus kepada pembangunan infrastruktur luar bandar tetapi mengambil ringan atas isu-isu seperti kebebasan kehakiman yang lebih diutamakan oleh pengundi bandar.

Begitu juga, pimpinan tertinggi dari gabungan politik yang banyak bergantung kepada pengundi bandar mungkin tidak dapat menghayati sentimen penduduk di pedalaman, yang lebih mengutamakan isu kelangsungan hidup, bukan isu kebebasan media atau geopolitik.

Ini semua adalah realpolitik dan berkait rapat dengan kelangsungan politik. Ini tidak dapat dinafikan.

Tetapi apabila dua buah blok politik berlawanan bergantung kepada sokongan berasaskan demografi geografi yang amat berbeza, maka negara akan menjadi lebih berpecah dan terpolarisasi.

Ini menjadi lebih teruk memandangkan kebanyakan pengundi luar bandar dari kaum Melayu, manakala di bandar, rata-ratanya bukan Melayu.

Sudah sampai masanya pemimpin politik atasan keluar dari zon selesa mereka. Sebagai permulaan, BN boleh mula meletakkan lebih ramai pemimpin peringkat pertengahan di kerusi bandar manakala PH melakukan perkara yang sama di luar bandar di masa hadapan. Mereka boleh bermula seawal tahun depan apabila beberapa pilihan raya negeri akan berlangsung.

Saya berharap satu hari nanti, saya akan melihat presiden UMNO menang di kerusi seperti Bukit Bintang dan Cheras manakala Setiausaha Agung DAP menang di kawasan seperti Gerik atau Pengkalan Chepa.

Kita memerlukan lebih ramai pemimpin seperti Khairy yang mempunyai keberanian untuk mengambil risiko politik. Tetapi pengundi juga harus memainkan peranan mereka dengan menyokong pemimpin yang berani melawan arus politik perdana demi masa depan negara.

Inilah cara kita mengecapi pembangunan yang lebih holistik dan meredakan suhu politik yang telah lama mengheret negara ini.

Zulkifli Mohd Salleh
Shah Alam

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram