PENYANYI Indonesia, Cakra Khan mendedahkan pernah melalui fasa titik terendah dalam hidup selepas kematian bapanya iaitu Hermana, dua tahun lalu.

Ujar Cakra atau Cakra Konta Paryaman,30, dia kini lebih menghargai keluarga terutama ibunya berbanding kerjaya seni.

Malah, selain insan tersayang, Cakra juga diuji apabila kehilangan rakan baik ketika fasa pandemik Covid-19.

“Sebetulnya ketika fasa Covid-19 melanda, banyak hal yang berlaku antaranya saya kehilangan bapa dan rakan baik. Banyak kejadian yang tak terduga.

“Saya masih ingat lagi ketika ayah di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital akibat sakit strok, saya ketika itu mahu pergi menjayakan sebuah persembahan.

“Namun, saya dapat tahu keadaan kesihatan merosot. Saya batalkan persembahan dan terus ke hospital tetapi ayah sudah meninggal dunia.

“Ketika itulah, saya alami perasaan paling teruk dalam hidup,” katanya kepada URTV.

Cakra berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert A Decade: Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2023 di Shook! JW Marriot di ibu negara, hari ini.

Rentetan itu, Cakra kini lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga terutama ibunya.

“Banyak yang saya belajar daripada kejadian ini antaranya untuk menghabiskan masa bersama keluarga.

“Itulah cara saya mengubat hati iaitu kembali kepada keluarga terutama ibu. Ia sangat-sangat membantu.

“Kalau dulu, bila ibu telefon, saya akan biarkan sahaja. Tetapi sekarang ini, kalau ibu telefon saya akan terus angkat panggilannya biarpun sibuk dengan kerja,” ujarnya.

Berkongsi lanjut tentang konsert yang akan diadakan pada 20 Januari 2023 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre, Cakra bakal membuat segmen khas untuk mengenang arwah bapanya.

“Banyak benda yang saya menyesal sebab ayah yang banyak memberi sumbangan dalam setiap karya seni saya. 

“Dia yang mendorong saya untuk menjadi seorang penyanyi. Pesanan terakhir ayah ialah dia mahu saya terus menyanyi dan membahagiakan orang menerusi karya seni saya. 

“Jadi di konsert nanti saya akan buat persembahan tribute untuk arwah ayah,” akhirinya.