Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) merangkap Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN perlu bertindak pantas menyelesaikan isu perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang telah mengalami gangguan perkhidmatan sejak semalam, susulan kegagalan Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC).

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini kerana perkara yang memberi kesan kepada rakyat khususnya di sekitar Lembah Klang tidak boleh dilengah-lengahkan dan seharusnya perancangan awal sudah dilakukan sebelum sesuatu masalah berlaku.

“Berita ini cukup menyedihkan, walaupun kerajaan sementara tapi tanggungjawab tidak bolehlah dibiarkan begitu sahaja. Yang penting apa yang perlu diklakukan sekarang untuk menangani isu ini kerana ini salah satu daripada isu sistem pengangkutan yang agak penting, banyak pengguna terkesan, sewajarnya tindakan segera diambil.

“Sepatutnya sudah ada perancangan kalau berlaku seperti ini dan perlu buat dengan cepat, lagipun sebelum ini dah pernah ada pengalaman insiden pertembungan dua tren, dalam hal ini walaupun tiada kemalangan tetapi kelewatan itu disebabkan oleh masalah teknikal yang sewajarnya tidak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Program Sembang Santai bersama penduduk Kampung Panjang Sari, Pagoh, hari ini.

Kerajaan, menerusi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, hari ini memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pengguna LRT Laluan Kelana Jaya yang telah mengalami gangguan perkhidmatan sejak semalam.

Baca artikel berkaitan: LRT: Kerajaan mohon maaf, pakar dari Istanbul, Toronto diterbangkan ke Malaysia

Semalam, operator LRT iaitu Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan ATC yang tidak stabil dikenal pasti sebagai punca kepada gangguan perkhidmatan sistem pengangkutan berkenaan, pada Sabtu dan Isnin lepas.

Perkhidmatan LRT di antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung tujuh hari bermula 6 pagi tadi selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang serta masa yang akan diambil untuk mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan.

Mengulas mengenai kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menyuarakan hasrat untuk memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri satu hari nanti, Muhyiddin, yang juga penyandang Parlimen Pagoh, berkata perkara itu disifatkan bukan omong kosong.

“Khairy seorang tokoh yang bagus. Beliau dalam Kabinet saya antara yang saya percayai. Beliau menguruskan soal COVID-19, beliau ada masa depan yang baik, beliau bercita-cita dan ia tidak salah…kalau saya pun nak bercita-cita jadi Perdana Menteri, salah ke?,” kata bekas perdana menteri itu.

Dalam satu ceramah umum malam tadi, Khairy dilaporkan berkata sekiranya pengundi Sungai Buloh boleh mengundinya sekali gus memenangi kerusi Parlimen itu, beliau bukan hanya akan membela nasib masyarakat di sana tetapi juga memimpin negara pada satu hari nanti.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram