LIMA orang penumpang mengalami kecederaan selepas tren transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya berhenti secara serta-merta ketika berada berhampiran Stesen Dang Wangi, petang semalam.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, insiden pada pukul 6.07 petang itu berlaku apabila sistem keselamatan automatik tren diaktifkan ketika tren sedang bergerak keluar dari stesen.
Menurut Rapid KL, pengaktifan sistem tersebut merupakan sebahagian daripada ciri keselamatan tren sedia ada yang direka untuk memastikan sebarang situasi luar jangka dapat ditangani dengan segera.
Katanya, pemberhentian tren secara serta-merta itu membuatkan seorang penumpang yang sedang berdiri dipercayai hilang imbangan sehingga botol air yang dipegangnya terlanggar panel kaca di bahagian sisi tempat duduk.
“Impak berkenaan menyebabkan panel kaca tersebut pecah dan serpihannya terkena pada beberapa penumpang yang duduk berhampiran.
“Berikutan kejadian tersebut, lima orang penumpang dilaporkan mengalami kecederaan.
“Dua daripada mereka telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala penumpang yang lain menerima rawatan di lokasi sebelum meneruskan perjalanan mereka.
“Penumpang lain di dalam tren tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah diturunkan di Stesen Damai untuk meneruskan perjalanan menggunakan tren yang berikutnya,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Rapid KL memberitahu, tren yang terlibat telah dikeluarkan daripada perkhidmatan sebagai langkah berjaga-jaga dan selaras dengan prosedur operasi standard (SOP).
Jelasnya, ia bagi membolehkan pemeriksaan teknikal menyeluruh dilaksanakan dengan lebih terperinci.
Rapid KL berkata, perkhidmatan Laluan Kelana Jaya akan terus beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh pengendalian insiden.
Bagaimanapun, katanya, terdapat pelarasan pada kekerapan tren di beberapa lokasi sementara tren yang terlibat dibawa keluar dari perkhidmatan.
“Rapid KL telah memulakan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca insiden dan akan terus memastikan tahap keselamatan serta keselesaan penumpang sentiasa diberi keutamaan.
“Sehubungan itu, penumpang dinasihatkan untuk sentiasa berpegang pada pemegang tangan serta berada dalam kedudukan stabil sepanjang perjalanan khususnya ketika tren sedang bergerak atau menghampiri stesen,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

