UMNO menegaskan parti itu mempunyai hak mutlak untuk menentukan pendirian dan hala tuju politiknya sendiri menjelang mana-mana pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang bakal diadakan.
Ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini, sekali gus memberi isyarat bahawa parti berkenaan akan membuat keputusan berdasarkan kepentingan serta mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO berhak menentukan pendekatan dan strategi politik apabila berdepan pilihan raya tanpa terikat dengan sebarang tafsiran yang menghalang parti daripada mempertahankan kedudukan serta mandat yang dimiliki.
Menurut beliau, kedudukan Kerajaan Negeri Johor berbeza daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kerana ia dibentuk lebih awal dan tidak melibatkan parti-parti Pakatan Harapan (PH).
“Perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia di peringkat Persekutuan tidak mengikat mana-mana kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat MKT UMNO, hari ini.
Beliau berkata, keputusan UMNO dan BN untuk mempertahankan mandat negeri tidak seharusnya dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada Kerajaan Perpaduan seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya, katanya, tindakan itu adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang sah dan berperlembagaan dengan memberikan hak sepenuhnya kepada rakyat untuk menentukan kerajaan pilihan mereka menerusi pilihan raya.
Dalam masa sama, UMNO menegaskan komitmennya untuk terus mendokong Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.
Asyraf berkata, pendirian itu selaras dengan keputusan parti untuk memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara di peringkat Persekutuan.
Pada masa sama, beliau menegaskan UMNO kekal terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan rakyat dan negara.
“Namun, apa jua bentuk kerjasama mestilah berasaskan prinsip keikhlasan dan kepercayaan,” katanya.
Ketetapan MKT UMNO itu dilihat sebagai penegasan bahawa parti berkenaan tidak akan menyerahkan hak menentukan hala tuju politiknya kepada mana-mana pihak, khususnya menjelang siri pilihan raya yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

