13 Ahli Parlimen Bersatu desak parti keluar PN, dakwa Muhyiddin punca keretakan

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

SERAMAI 13 Ahli Parlimen Bersatu menggesa parti itu segera keluar atau dikeluarkan daripada Perikatan Nasional (PN), susulan keputusan Pas memutuskan hubungan politik dengan parti berkenaan.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kumpulan Ahli Parlimen terbabit mendakwa tindakan Pas itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ia berpunca daripada sikap kepimpinan tertinggi Bersatu yang disifatkan angkuh dan gagal menghormati semangat kerjasama dalam gabungan berkenaan.

Mereka secara khusus menamakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Azmin Ali, sebagai antara punca hubungan dalam PN menjadi semakin renggang.

Menurut mereka, Bersatu didakwa berulang kali melanggar semangat kebersamaan dalam PN sehingga menjejaskan keutuhan gabungan yang dibina bersama parti komponen lain.

“Kami selaku Ahli Parlimen telah banyak kali memberi teguran secara dalaman kepada Muhyiddin mengenai hala tuju parti dan kepentingan menjaga hubungan dalam PN.

“Malangnya, setiap teguran membina yang kami suarakan langsung tidak diendahkan, malah Lembaga Disiplin telah disalahgunakan untuk menutup mulut kami daripada terus menyuarakan kebenaran,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut mendakwa kedudukan Bersatu dalam PN semakin lemah apabila parti itu kini hanya mempunyai enam Ahli Parlimen yang masih bersama kepimpinan sedia ada.

Menurut mereka, kelemahan parti serta kepimpinan Muhyiddin berisiko melumpuhkan PN sekiranya Bersatu terus kekal dalam gabungan berkenaan.

Sehubungan itu, mereka menggesa supaya semua lantikan politik dan jawatan EXCO yang dipegang wakil Bersatu di negeri-negeri berkaitan turut dirombak.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid serta sembilan lagi Ahli Parlimen yang sebelum ini dikaitkan dengan kemelut dalaman parti.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Tambang percuma LRT3, bas pengantara sebulan mulai esok – Anwar

ORANG ramai boleh menikmati perkhidmatan percuma Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam selama sebulan bermula esok...

More Articles Like This