Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN terus memberikan tumpuan kepada sektor keusahawanan yang merupakan antara elemen penting untuk memacu pembangunan ekonomi termasuk dalam kalangan penduduk luar bandar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Beliau berkata walaupun negara telah mencapai kejayaan dalam konteks pembangunan infrastruktur di luar bandar, namun bidang ekonomi masyarakat luar bandar perlu diperkasakan.

“Kita mahu penduduk kampung kita menceburi pelbagai bidang ekonomi yang bukan hanya aktiviti ekonomi tradisional seperti bertani dan menoreh getah atau sebagai nelayan kecil bagi mereka yang tinggal di pinggir pantai.

“Usahawan luar bandar sentiasa mempunyai peluang dan ruang untuk meningkatkan pencapaian sedia ada ke tahap lebih tinggi kerana kita mempunyai kepakaran, potensi dan kemudahan yang sentiasa berkembang,” katanya semasa berucap merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa di Dataran Kerayong, hari ini. 

Usaha memperkasakan masyarakat luar bandar itu juga, menurut Perdana Menteri adalah selari dengan matlamat aspirasi dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar iaitu wawasan ‘Luar Bandar Yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik’ menjelang tahun 2030.

Baca artikel berkaitan: Belanjawan 2023 bukti kebajikan kaum India dijaga – PM

Selain itu, beliau berkata keusahawanan desa juga mempunyai potensi untuk berkembang menerusi penggunaan teknologi, yang membolehkan mereka memasarkan jualan produk secara dalam talian sehingga ke pasaran antarabangsa.  

Pada ucapannya, Ismail Sabri juga berkata pembangunan luar bandar menjadi keutamaan kerajaan, seperti yang dapat dilihat pada pembentangan Bajet 2023, iaitu peruntukan RM10.93 juta kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), empat peratus lebih tinggi daripada tahun sebelumnya.

Peruntukan itu, menurut beliau adalah bagi memastikan perancangan dan strategi bersepadu bagi pembangunan luar bandar dapat diteruskan dan memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar. 

Mengulas mengenai mini karnival itu, Ismail Sabri berkata ia merupakan sebahagian daripada program pemasaran KPLB bagi memartabatkan produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar dengan mengadakan platform mempromosi kemudahan serta insentif yang disediakan oleh sektor awam dan swasta.

Karnival selama dua hari bermula semalam itu, melibatkan penyertaan usahawan tempatan dan pelbagai agensi daripada KPLB, menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung dengan nilai jualan RM100,000. 

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram