Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika proses penamaan calon, baru-baru ini. -GAMBAR: BERNAMA

PENULIS ialah warga Bagan Datuk, Perak, tetapi tidak balik mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 Sabtu 19 November ini. Sudah lama tukar alamat dan kini pengundi di salah sebuah kawasan parlimen di Kuala Lumpur.

Parlimen Bagan Datuk ialah kawasan luar bandar, mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Rungkup dan Hutan Melintang. Bagan Datuk merupakan pekan mati di hujung perjalanan, terletak di tebing Sungai Perak.

Hanya ada dua baris kedai di jalan utama, kerana itu ia digelar ‘pekan koboi’. Namun di sini ada Sekolah Sains, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta Politeknik Bagan Datuk yang dalam pembinaan. Juga jambatan Bagan Datuk–Sejagup serta Masjid Terapung yang hampir siap.

Bagan Datuk diisytihar daerah ke-12 di negeri Perak pada 9 Januari 2017. Dahulu, ia merupakan kawasan pengeluar kelapa terbesar di Perak dan Malaysia. Tetapi kini banyak pokok kelapa ditebang, diganti dengan kelapa sawit.

Berkeluasan 951.52 kilometer persegi, Bagan Datuk lebih besar daripada Perlis yang berkeluasan 819 kilometer persegi. Mula diwakili di parlimen pada PRU 1959 apabila calon Perikatan, Yahya Ahmad, menang memperoleh 8,078 undi menewaskan calon Pas, Azubir Ahmad yang memperoleh 4,425 undi. Ketika itu jumlah pengundi berdaftar ialah 18,545 orang.

Pada PRU lepas, jumlah pengundi di Bagan Datuk ialah 47,309 orang. Menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya parlimen Bagan Datuk, Muhammad Ghopran Yeop Hamzah, pada PRU-15 ini, jumlah meningkat kepada 58,183 orang. Penyandang kerusi ialah Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamdi.

Mantan Timbalan Perdana Menteri itu menang PRU-14 memperoleh 18,909 undi menewaskan calon PKR, Pakhrurrazi Haji Arshad yang memperoleh 13,836 undi. Majoriti 5,073 undi. Zahid memegang kerusi tersebut sejak PRU tahun 1995.

Parlimen Bagan Datuk dianggap kubu Perikatan/BN. Calon BN memenangi semua PRU sejak 1959. Cuma situasi berubah pada PRU 1974 apabila Timbalan Presiden Pas, Allahyarham Datuk Hassan Adli menang selaku calon BN. Ketika itu Pas ialah parti komponen BN.

Pada PRU 1978, mantan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Tempatan serta mantan Duta Besar ke Republik Arab Mesir itu sekali lagi menang sebagai calon Bebas mewakili BN, setelah Pas keluar BN pada 1977.

Hassan Adli sendiri dipecat oleh Pas kerana ingkar pendirian parti yang menentang perisytiharan darurat di Kelantan ketika Datuk Mohamed Nasir menjadi menteri besar. Dalam PRU 1978, Hassan Adli memperoleh 16,894 undi menewaskan calon Pas, Abdullah Basiran yang memperoleh 2,600 undi.

DUN Rungkup belum pernah terlepas ke tangan parti lain. Sebelum pembubaran DUN, Rungkup diwakili EXCO kerajaan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya. Beliau memperoleh 6,529 undi pada PRU-14, menewaskan calon PKR, Hatim Musa yang memperoleh 3,460 undi. Majoriti 3,069 undi. Shahrul memegang kerusi itu sejak PRU-13.

Kerusi Hutan Melintang pernah terlepas ke tangan Parti Keadilan (PKR) pada PRU ke-12 dan ke-13. Pada PRU-12, calon PKR, Kesavan a/l Subramaniam menang memperoleh 7,804 undi menewaskan calon BN, Thangasvari a/p Suppiah yang memperoleh 6,083 undi. Majoriti 1,721 undi.

BERITA BERKAITAN PRU-15: Ahmad Zahid berdepan ‘giant killer’ Shamsul Iskandar di Bagan Datuk

Pada PRU-13, Kesavan sekali lagi menang dengan memperoleh 10,155 undi menewaskan calon BN, R Supramaniam yang memperoleh 8,915 undi. Majoriti 1,240 undi.

Pada PRU-14, BN merampas kerusi tersebut apabila calonnya, Datuk Khairuddin Tarmizi memperoleh 10,961 undi, menewaskan calon PKR, Manivanan Gowin yang memperoleh 10,220 undi. Majoriti 741 undi.

Pada PRU-15 ini, parlimen Bagan Datuk menyaksikan saingan empat penjuru dan dikategorikan satu daripada tiga kawasan panas di Perak, selain Tambun dan Larut. Kategori panas berdasar parti dan calon bertanding.

Selain Ahmad Zahid yang akan mempertahan kerusi, tiga lagi calon ialah Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin, dianggap ‘orang kuat’ PKR yang sebelum ini ahli parlimen Hang Tuah Jaya, Melaka; calon Perikatan Nasional (PN), Dr Muhammad Faiz Na’aman serta calon Bebas, Mohd Tawfik Ismail.

Pada PRU-14, Shamsul Iskandar menang kerusi Hang Tuah Jaya dengan 39,067 undi, menewaskan mantan Ketua Menteri Melaka (kini Yang di-Pertua Negeri), Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang memperoleh 30,427 undi. Majoriti 8,640 undi.

Sebelum itu, Shamsul Iskandar menang pada PRU-13 ketika kawasan itu dikenali Bukit Katil. Beliau memperoleh 46,357 undi, juga menewaskan Mohd Ali yang memperoleh 40,624 undi. Majoriti 5,733 undi.

Calon PN, Dr Muhammad Faiz Na’aman ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertingi parti Bersatu. Beliau ialah doktor perubatan lulusan Cyberjaya University College of Medial Sciences (CUCMS), kini Universiti Cyberjaya dan pernah berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur.

Mohd Tawfik, anak mantan Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, merupakan bekas ahli parlimen Sungai Benut, Johor, yang kini dikenali parlimen Simpang Renggam.

Bagi kerusi DUN Rungkup, Shahrul Zaman yang mempertahan kerusi, berdepan calon PH, Munzirie Kabir dan calon PN, Mohd Mokheri Jalil. Di DUN Hutan Melintang, Khairuddin Tarmizi berdepan cabaran Khairul Nizam Marsom daripada PN dan S Wasanthee (PH).

BN optimis mempertahan kerusi parlimen Bagan Datuk, serta DUN Rungkup dan Hutan Melintang pada PRU-15 ini. Rekod BN belum pernah tewas di kerusi parlimen dianggap sandaran harapan.

Namun saingan dihadapi Ahmad Zahid kali ini nampak sengit, terutama dengan kehadiran Shamsul Iskandar yang dianggap ‘giant killer’ kerana dua kali menewaskan Ali Rustam di Melaka. Sementara potensi calon PN juga tidak boleh dipandang ringan.

Menurut rekod, walau pun Ahmad Zahid menang dengan majoriti 5,073 undi pada PRU-14, pada PRU-13 majoriti hanya 2,108. Beliau memperoleh 17,176 undi berbanding calon PKR, Madhi Hassan yang memperoleh 15,068 undi.

Di DUN Rungkup, Shahrul Zaman yang menang dengan majoriti 3,069 undi pada PRU-14, menang tipis dengan majoriti 613 undi pada PRU-13. Beliau memperoleh 6,415 undi, menewaskan calon Pas, Misbahul Munir Masduki yang memperoleh 5,802 undi.

Malah pada PRU-12, majoriti BN lebih tipis. Calon BN, Shaarani Mohamad memperoleh 4,984 undi berbanding calon Pas, Misbahul Munir yang memperoleh 4,530 undi. Majoriti hnya 454 undi.

Kemenangan calon BN di DUN Hutan Melintang, Khairuddin Tarmizi, pada PRU lepas dengan majoriti 741 dianggap tidak cukup selesa. Dapatkah BN bertahan atau PH mampu merampas kembali kerusi yang pernah dipegang dua penggal sebelum itu?

Rekod pencapaian lalu meniup debaran yang kian kencang menjelang hari membuang undi, penentuan antara harapan BN terus mempertahan kerusi dan parti lawan yang mahu membawa perubahan.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram