Di mana saja di serata dunia, apabila tiba musim pilihan raya, akan kedengaran pelbagai manifesto dan janji-janji manis calon dan parti bertanding demi untuk memikat hati pengundi.

Jika janji-janji itu mengikut logik akal, ok juga. Tapi, bagaimana kalau yang dijanjikan itu pelik-pelik saja bunyinya. Contohnya, seperti kisah di bawah ini…

Pakai Kostum Badut

Pada tahun 1979, Jello Biafra yang juga seorang penyanyi kumpulan punk bertanding untuk calon datuk bandar bandar San Fransisco di California, Amerika Syarikat.

Dalam kempennya, beliau berjanji mahu mewujudkan undang-undang untuk mewajibkan ahli korporat supaya memakai kostum badut semasa bekerja. Memang kalahlah jawabnya. Ingat ahli perniagaan nak sokong ke?

Arak Percuma

Seorang calon pilihan raya bernama AM Sheik Davood yang mewakili daerah Tiruppur Lok Sabha di Tamil Nadu di India pernah menjanjikan kepada pengundinya bahawa dia akan memberikan 10 liter Brandy (sejenis arak) percuma sebagai ‘kegunaan perubatan’ untuk semua penduduk di situ setiap bulan jika dia memenangi pilihan raya tersebut.

1.5 Juta Buah Rumah

Dalam pilihan raya Zimbabwe pada 2018, sebuah parti politik bernama Zanu-PF menjanjikan akan membina sebanyak 1.5 juta buah rumah dalam masa lima tahun.

Jika dibahagikan, bermakna mereka harus menyiapkan 822 buah rumah dalam masa sehari untuk mencapai target yang dikatakan itu. Sungguh tak masuk akal!

Tinggal Di Bulan

Bekas speaker dewan rakyat Amerika Syarikat, Newt Gingrich yang bertanding sebagai calon presiden dalam pilihan raya tahun 2012 menjanjikan untuk membuka sebuah ‘penempatan’ di bulan menjelang tahun 2020.

Dia juga berjanji akan memastikan hanya rakyat Amerika yang akan tinggal di situ. Katanya, dengan menjadi koloni pertama di dunia yang mampu tinggal di luar bumi akan memberi faedah besar buat Amerika.

Halau Tentera China

Dalam pilihan raya tahun 1979 di United Kingdom, calon bernama David Bishop dari parti Nottingham East telah berjanji sekiranya menang, dia akan menghalau tentera China supaya meninggalkan Tibet kerana telah merosakkan pergunungan itu dan menyebabkan kepupusan yeti dan harimau bintang.

Suruh Penduduk Jalan Kaki

Seorang penulis buku, Hunter Thomson pernah bertanding untuk merebut jawatan ketua polis di Pitkin Country dalam daerah Colorado, Amerika Syarikat. Dalam kempennya yang agak radikal, sekiranya memenangi jawatan tersebut, dia akan menukar jalan raya di kawasan itu dengan rumput tiruan dan penduduk hendaklah berjalan kaki atau berbasikal. Kerana ramai penduduk di situ yang gemuk, dia juga mahu menukar nama bandar tersebut menjadi ‘Fat City’. Hamm… patutlah tak menang.

Kuda Percuma

Dalam pilihan raya tahun 2012 di Amerika, salah seorang calon iaitu Vermin Supreme menjanjikan akan memberi seekor kuda poni kepada setiap warga Amerika jika dia terpilih menjadi presiden. Katanya, dia mahu menukar ekonomi negara itu menjadi ‘pony-based economy’.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram