Deretan bendera parti politik berkibaran sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di sekitar Kampung Sungai Kertas, Batu Caves. GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN Johor, Kelantan dan Terengganu, masing-masing hari ini mengumumkan cuti gantian pada 20 Nov (Ahad) sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

Di JOHOR, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pemberian cuti tersebut adalah atas perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang berkenan menggantikan hari kelepasan am Jumaat ini kepada Ahad.

“Setelah mendapat perkenan Sultan Johor, kerajaan negeri bersetuju untuk menggantikannya dengan cuti gantian pada 20 Nov ini iaitu Ahad,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi.

Onn Hafiz berkata cuti gantian tersebut juga adalah sebagai tanda penghargaan kepada pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab.

“Percayalah, setiap undi anda akan memastikan proses demokrasi dan pembangunan negara terus berkembang. Ini adalah demi kesejahteraan hidup rakyat Johor dan Malaysia amnya, melangkaui lima tahun akan datang,” katanya.

Di KELANTAN, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata keputusan itu dibuat selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lepas yang mengumumkan 18 dan 19 Nov sebagai hari kelepasan am.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersidang pada hari ini bersetuju untuk mengisytiharkan tarikh 18 dan 19 Nov 2022 (Jumaat dan Sabtu) sebagai Hari Kelepasan Am bagi seluruh negeri Kelantan.

“Memandangkan Hari Kelepasan Am tersebut jatuh pada hari Kelepasan Mingguan bagi negeri Kelantan iaitu pada Jumaat dan Sabtu, maka hari berikutnya iaitu Ahad, 20 Nov 2022, dijadikan Hari Kelepasan Am,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: PM umum cuti am pada 18 dan 19 November ini sempena PRU-15

Ahmad berkata perkara berkenaan adalah selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Negeri Bilangan 7 Tahun 1996.

Di KUALA TERENGGANU, kerajaan negeri turut mengumumkan 20 Nov ini sebagai cuti gantian sempena PRU15 yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata keputusan itu dibuat memandangkan hari kelepasan am tersebut jatuh pada hari kelepasan mingguan bagi Terengganu iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu.

“Maka hari kelepasan am yang jatuh pada 19 Nov akan digantikan pada hari berikutnya iaitu 20 Nov, selaras dengan Seksyen 3, Akta Hari Kelepasan 1951,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri pada Isnin lepas mengumumkan 18 dan 19 Nov sebagai hari kelepasan am bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak melepaskan tanggungjawab kepada negara.

Perdana Menteri memaklumkan 30 konsesi lebuh raya telah bersetuju menawarkan kadar tol percuma selama dua hari sempena PRU15, bagi memudahkan pengundi pulang ke kampung halaman untuk mengundi.

Tol percuma tersebut akan bermula dari 12.01 tengah malam 18 Nov (Jumaat) hingga 11.59 malam pada hari Sabtu, 19 Nov melibatkan semua kenderaan jenis persendirian, Kelas 1 sahaja yang dianggarkan sekitar 90 peratus dari jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini (19 Nov) sebagai hari pengundian.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram