Deretan bendera parti politik berkibaran sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di sekitar Gombak. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMPEN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hampir sampai ke penghujungnya namun suasana meriah terus menyelubungi setiap kawasan bandar dan kampung dengan hiasan bendera parti politik penuh warna-warni.

Fenomena ‘perang bendera’ yang hanya berlaku hampir setiap lima tahun sekali itu, turut dihangatkan dengan kenderaan jentera pilihan raya calon sekali-sekala membuat rondaan di kawasan mereka dengan menggunakan pembesar suara.

Tidak cukup kawasan kediaman, pasar awam, restoran serta premis perniagaan turut menjadi sasaran calon untuk mengedar poster serta risalah yang mengandungi biodata dan manifesto sambil beramah mesra dan memperkenalkan diri masing-masing.

Dalam tinjauan Bernama, rata-rata jentera PRU-15, sama ada parti politik ataupun calon bebas mengakui bahawa perbelanjaan antaranya untuk mencetak poster, risalah, kain rentang dan bendera sebagai bahan berkempen adalah agak besar.

Bagaimanapun, semuanya itu hanya digunakan sepanjang tempoh berkempen dan apakah nasib bahan berkenaan selepas hari mengundi dan berakhirnya PRU-15 nanti?

PERTAMBAHAN SISA PEPEJAL

Pada PRU-14, hasil kutipan sisa pepejal meningkat kepada 269,042 tan pada bulan Mei 2018 berbanding 250,266 tan pada bulan April 2018, demikian menurut laporan tahunan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) 2018.

Pertambahan sisa pepejal meningkat apabila selesainya mana-mana pilihan raya kerana kebanyakan bahan kempen yang digunakan itu hanyalah bersifat sementara.

Pengurus jentera PRU-15 DAP Parlimen Kepong, Lai Chun Chian berkata, pihaknya mencetak kira-kira 5,000 poster dan risalah manifesto untuk diedarkan kepada pengundi ketika sesi jelajah calon dan ceramah perdana.

“Selain berbelanja besar untuk cetakan bahan kempen, kami turut dikehendaki membayar deposit kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk memasangnya di tempat awam, contoh poster yang ditampal di papan iklan dan sekiranya papan iklan rosak atau dirosakkan dan melibatkan jumlah kerosakan yang besar, deposit itu mungkin tidak akan dikembalikan,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 Seksyen 24B(4), calon hanya boleh mempamer, memberi dan mengedar bahan kempen pilihan raya di tempat bertanding hanya setelah membayar deposit bahan kempen kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri.

Jumlah yang dikenakan oleh SPR untuk bahan kempen adalah sebanyak RM5,000 bagi calon Parlimen dan RM3,000 bagi calon Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Lai, kebiasaannya pihak beliau akan mengutip kembali bahan kempen yang dipasang di kawasan kempen dan menyimpannya di dalam stor untuk kegunaan pilihan raya seterusnya ataupun pemilihan parti.

“Bahan kempen yang rosak antaranya akibat vandalisme, kami terpaksa menghantarnya ke tapak pelupusan sampah, namun bahan yang masih elok tetapi tidak boleh digunakan dalam jangka masa panjang akan dihantar ke pusat kitar semula,” katanya.

SUMBANGAN DAN KITAR SEMULA

Sukarelawan jentera PRU-15 Barisan Nasional (BN) Parlimen Cheras, Nick Sim, 31, berkata, bukan semua bahan berkempen akan berakhir di tapak pelupusan sampah dan pusat kitar semula.

“Ada baju yang dicetak nama calon, kami sumbangkan kepada golongan memerlukan seperti gelandangan dan rumah kebajikan untuk dipakai ataupun digunakan untuk tujuan lain.

“Jika sepanduk dan kain rentang pula, ada peniaga gerai yang kami temui sepanjang tempoh berkempen, meminta daripada kami untuk dijadikan sebagai penghadang matahari,” katanya.

Baca artikel berkaitan: PRU-15: Johor, Kelantan, Terengganu cuti gantian Ahad ini

Inilah yang dilakukan oleh Rodziah Norsham, yang membuka gerai berniaga makanan panas di Puchong, Selangor, yang berkata kain rentang dan sepanduk PRU-15 sangat berguna untuk dikitar semula, terutamanya jika digunakan untuk menghadang pancaran terik matahari.

“Kadang-kala mahu memasang penghadang itu memang mahal, apa salahnya guna bekas sepanduk yang sudah tidak digunakan lagi untuk menjadi penghadang matahari untuk gerai saya?

“Jika tidak dalam tempoh PRU-15 pun, saya turut akan meminta sepanduk iklan dan kain rentang yang diturunkan oleh pihak berkuasa tempatan untuk dijadikan alas meja,” katanya.

Fatimah Othman, 62, pula suka mengumpul poster calon yang bertanding untuk menutupi tingkap kaca di rumahnya sebagaai pelindung daripada sinaran matahari terik pada waktu siang.

“Selalunya calon PRU dan jentera mereka sangat bermurah hati untuk mengedarkan risalah dan poster di pasar dan kedai makan. Jika mereka memberi kepada saya, biasanya saya mengambil kesempatan untuk meminta lebih.

“Kemudian saya akan mengumpulkannya dari pelbagai parti dan menggunakannya sebagai penghadang cahaya pada tingkap saya di rumah untuk mengelakkan daripada diintai oleh orang luar,” kata warga emas ini yang akan mengundi di Kepong.

KURANGKAN PEMBAZIRAN

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Zero Waste Malaysia (ZWM), Khor Sue Yee berkata, cara terbaik untuk mengurangkan pembaziran sewaktu pilihan raya ialah dengan mengguna semula bahan kempen berkenaan selepas berakhir pilihan raya.

“Terdapat dua bahan yang sering kita lihat semasa kempen pilihan raya iaitu bahan media am dan bahan baharu.

“Bahan am termasuk bendera parti politik dan poster calon. Kalau kita perhatikan, kebanyakan bahan yang dipasang di tepi jalan adalah bendera parti yang tidak berubah sejak bertahun-tahun, “ katanya.

Kerajaan, tambah beliau, boleh mengambil inisiatif dengan mengadakan undang-undang ketat untuk mengurangkan jumlah bendera, sepanduk dan poster yang dipasang di tempat awam dan premis.

Dengan memberikan contoh India, menurut Khor, kerajaan negara itu menguatkuasakan undang-undang pada tahun 2008 yang menyebut, bendera parti politik hanya boleh dipasang di premis persendirian dengan persetujuan pemilik.

“Had juga dikenakan iaitu hanya tiga bendera dipasang di kediaman penyokong atau pekerja parti. Langkah mewujudkan dasar yang sedemikian boleh membuktikan komitmen kerajaan ke arah mencapai matlamat kehidupan mesra alam dan menjadikan Malaysia negara mesra alam,” katanya.

Menurut Khor, bahan fabrik adalah antara yang paling sukar untuk di kitar semula dan cara mudah ialah menggunakannya semula untuk tujuan lain dan dipindahkan daripada pemiik kepada pemilik yang lain.

“Sekiranya bahan kempen tidak dapat disimpan untuk kempen pada masa akan datang, kita perlu kreatif dan melihat sama ada ia boleh dikitar semula.

“Antaranya menjadi beg guna semula yang boleh disumbangkan kepada kedai tempatan untuk digunakan oleh pengguna, daripada menggunakan beg plasti sekali guna. Bahan berkenaan juga boleh dijahit untuk menjadi kain pengelap, ” katanya.

KUASA MEDIA SOSIAL

Khor juga menyentuh tentang kehidupan masa kini yang banyak menggunakan media digital dan keadaan ini membolehkan maklumat disampaikan di laman sesawang bagi mengurangkan percetakan kertas.

Para calon sebenarnya boleh menggunakan kuasa media sosial untuk menyampaikan mesej mereka dengan cara yang kreatif seperti video dan infografik yang interaktif.

“Perancangan yang teliti dan menggunakan kaedah terkini adalah penting. Contoh, daripada mencetak bahan kempen secara fizikal, mungkin ada kod QR yang individu boleh imbas.

“Kebiasaan mengedar ribuan risalah perlu diminimumkan. Kita kini hidup dalam era digital. Ramai yang mempunyai telefon pintar untuk mengimbas kod QR,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram