ISTERI kepada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak menegaskan tidak merestui mana-mana anaknya bertanding dalam pilihan raya kecuali atas tiket Pas.

Menerusi kenyataan dimuatnaik ke Facebook Pas Pusat, Tuan Sabariah berkata, beliau dan arwah suaminya telah mendidik anak-anak supaya istiqamah bersama Pas.

“Saya tidak pernah merestui mana-mana anak saya bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecuali atas tiket Pas.

“Al-Marhum Tuan Guru dan saya telah mendidik anak-anak kami semenjak dari kecil lagi agar kekal istiqamah dengan perjuangan Islam bersama parti Pas,” katanya dalam hantaran tersebut.

Baca artikel berkaitan: Muhyiddin tolak dakwaan kononnya kerjasama Bersatu, PAS ibarat ‘Kahwin Mutaah’

Kenyataan itu merujuk kepada tindakan anak keduanya, Nik Omar Nik Abdul Aziz bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Pasir Salak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Nik Omar yang diumumkan sebagai calon PKR pada 26 Oktober lalu bakal menghadapi tentangan calon Barisan Nasional (BN), Khairul Azwan Harun; Jamaludin Yahya (Perikatan Nasional) dan calon Pejuang, Zairol Hizam Zakaria.

Ini bukan kali pertama Tuan Sabariah mengeluarkan kenyataan melarang anaknya bertanding pilihan raya atas tiket selain Pas.

Pada PRU-14 lalu, Tuan Sabariah turut menentang keputusan Nik Omar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan di bawah tiket Amanah.

Nik Omar ketika itu tewas kepada calon Pas, Ahmad Fathan Mahmood dengan hanya memperoleh 2,418 undi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram