Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad

SEMUA pihak diminta untuk tidak mempertikaikan nasihat Yang di-Pertuan Agong dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan di negara ini.

Terimalah hakikat bahawa bukan mudah untuk kesemua parti politik yang terlibat membuat keputusan sedemikian.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad berkata, dengan terbentuknya kerajaan ini maka satu naratif baharu kepimpinan terbina apabila nasihat Seri Paduka ditakrifkan sebagai titah.

Katanya, dalam menterjemah titah itu, terbentuklah Kerajaan Perpaduan dengan ehsan dua lagi gagasan utama iaitu Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Dengan itu juga, Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Datuk Seri Anwar memperolehi sokongan wakil rakyat mencukupi untuk beliau membentuk Kerajaan Perpaduan yang stabil.

“Ucapan terima kasih juga dipanjangkan oleh MPM kepada kedua-dua gagasan politik itu yang berjiwa besar, mengutamakan rakyat dan negara dalam usaha membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasan menambah, kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bukan saja menyelesaikan kekusutan malah memaparkan institusi raja-raja Melayu menghormati dan mendahulukan sistem demokrasi Parlimen berperlembagaan.

Pada masa sama, beliau berharap, kerajaan diterajui Anwar mampu memacu negara mencapai sesuatu yang lebih baik demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.

Beliau juga mendoakan agar Anwar dapat menjalankan tugas sebagai seorang khalifah dan menerima segala ketentuan ini sebagai satu amanah.

“Hendaknya Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan bersih, cekap, amanah, berintegriti, adil, saksama dan memacu negara ini kekal makmur dengan rakyatnya hidup aman, damai, sejahtera dan harmoni,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram