BUAT pertama kali dalam sejarah, Malaysia mempunyai dua Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada satu-satu masa dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia selepas Anwar mengumumkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof masing-masing akan memikul tanggungjawab sebagai TPM.
Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) akan memegang portfolio Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Fadillah yang merupakan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pula menerajui Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Sementara itu, Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar menyaksikan PKR menjadi wakil terbanyak dengan lapan pemimpin dalam barisan Kabinet.
Ia termasuk Anwar selaku Presiden PKR yang turut memikul tanggungjawab Menteri Kewangan.
Tujuh pemimpin lain adalah Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi); Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri); Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) dan Chang Lih Kang (Menteri Sains dan Teknologi) serta Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil sebagai Menteri Komunikasi Digital.
Turut dinamakan ialah Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan Ahli Parlimen Sekijang yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa.
BN yang juga gabungan terbesar dalam Kerajaan Perpaduan pula ‘menghantar’ enam wakil bagi melengkapkan barisan Jemaah Menteri.
Selain Ahmad Zahid, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan buat pertama kali menyertai Kabinet dengan menerajui portfolio Kementerian Pertahanan.
Baca artikel berkaitan: Barisan Kabinet 28 menteri, Anwar Menteri Kewangan, Zahid, Fadillah TPM
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula memikul tanggungjawab sebagai Menteri Pendidikan Tinggi manakala Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selaku Menteri Luar.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said pula dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) sementara bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bertukar ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang turut menjadi antara gabungan terbesar dalam Kerajaan Perpaduan diberi peranan menerajui lima kementerian.
Selain Fadillah, GPS akan diwakili oleh Datuk Seri Alexender Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya); Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan); Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) serta bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago anak Dagang (Menteri Perpaduan).
Dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) pula masing-masing diberi tanggungjawab empat dan dua kementerian dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook kembali menerajui Kementerian Pengangkutan.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu pula memegang portfolio Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup); Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan); Timbalan Setiausaha Agung DAP, V Sivakumar (Menteri Sumber Manusia) serta Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan, Hannah Yeoh memegang portfolio Kementerian Belia dan Sukan melengkapkan barisan Jemaah Menteri.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali merupakan satu-satunya wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).
Kabinet Kerajaan Perpaduan turut dianggotai Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Senator untuk dilantik sebagai Menteri Agama.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

