Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. GAMBAR IHSAN: Pejabat Perdana Menteri

SELEPAS lapan hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan Kabinet kerajaan pimpinannya yang merangkumi 28 Jemaah Menteri.

Jumlah 28 menteri itu adalah lebih kecil berbanding seramai 31 Jemaah Menteri dalam kerajaan sebelum ini.

Anwar juga mengumumkan beliau akan turut memegang portfolio selaku Menteri Kewangan.

Pada masa sama, Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar itu juga menyaksikan buat pertama kali Malaysia mempunyai dua Timbalan Perdana Menteri seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Jawatan Timbalan Perdana Menteri I akan dijawat Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Timbalan Perdana Menteri II pula akan dipegang Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah juga dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Selain itu, beberapa nama yang sebelum ini pernah menjadi menteri turut menganggotai Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Antaranya, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook yang kembali menerajui Kementerian Pengangkutan dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang menjawat jawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula kembali ke dalam barisan Kabinet sebagai Menteri Pendidikan Tinggi; Datuk Seri Nancy Shukri menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Datuk Seri Salahuddin Ayub selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup manakala Datuk Seri Azalina Othman Said pula Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir pula dilantik menerajui Kementerian Luar.

Baca artikel berkaitan: Pertama kali dua TPM, PKR wakil terbanyak Kerajaan Perpaduan

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang sebelum ini merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Koperasi dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pula dilantik masing-masing sebagai Menteri Dalam Negeri dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh pula dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Antara nama baharu yang menganggotai Kabinet Anwar pula adalah Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi); Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan); Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan); Chang Lih Kang (Menteri Sains dan Teknologi); Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim); Ewon Benedick (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan).

Nama baharu lain adalah Ahmad Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi Digital); Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan); Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara); VN Sivakumar (Menteri Sumber Manusia); Dr Zaliha Mustafa (Menteri Kesihatan) dan Armizan Mohd Ali (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak)).

Kabinet Kerajaan Perpaduan ini juga menyaksikan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilantik sebagai Menteri Agama.

Anwar turut memaklumkan urusan kerajaan khususnya Kementerian Kewangan akan dibantu oleh beberapa penasihat yang tidak mengambil upah diketuai Penasihat Petronas, Tan Sri Hassan Merican.

Dalam sidang medianya sebentar tadi, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinannya menerima pakai semua kekuatan induk daripada Pakatan Harapan (PH) dan dukungan BN serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Kata beliau, ketiga-tiga tonggak itu juga telah bersepakat dalam membentuk Jemaah Menteri yang menetapkan tatakelola baik dan keutamaan memacu pertumbuhan ekonomi serta mengurangkan beban rakyat dari sudut kos sara hidup.

“Kesepakatan ini memungkinkan kita melebarkan jaringan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan sekarang ini selain daripada Warisan dan UPKO yang sedia ada.

“Ini bermakna kekuatan Kerajaan Perpaduan dalam Parlimen sudah mencecah sekitar dua pertiga.

“Jadi, dengan mandat ini, ia telah memberi keyakinan kepada kita untuk membentuk satu barisan Jemaah Menteri yang lebih padu dan akan bekerjasama sebagai satu pasukan dan menumpukan perhatian dalam soal pemacuan pertumbuhan ekonomi yang segar serta permasalahan rakyat,” katanya.

Pengumuman barisan Kabinet itu dinantikan seluruh negara selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November lalu.

Terdahulu, Anwar menerima perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menghadap Seri Paduka.

Berikut merupakan senarai penuh menteri yang diumumkan Anwar:

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan:

Anwar Ibrahim

Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah:

Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Perladangan dan Komoditi:

Fadillah Yusof

Menteri Pengangkutan:

Loke Siew Fook

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan:

Mohamad Sabu

Menteri Ekonomi:

Mohd Rafizi Ramli

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan:

Nga Kor Ming

Menteri Pertahanan:

Mohamad Hasan

Menteri Kerja Raya:

Alexander Nanta Linggi

Menteri Dalam Negeri:

Saifuddin Nasution Ismail

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri:

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

Menteri Pendidikan Tinggi:

Khaled Nordin

Menteri Sains dan Teknologi:

Chang Lih Kang

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat:

Nancy Shukri

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup:

Salahuddin Ayub

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi:

Azalina Othman

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim:

Nik Nazmi Nik Ahmad

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi:

Ewon Benedick

Menteri Luar Negeri:

Zambry Abd Kadir

Menteri Pelancongan:

Tiong King Sing

Menteri Komunikasi Digital:

Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil

Menteri Pendidikan:

Fadhlina Sidek

Menteri Perpaduan Negara:

Ago Dagang

Menteri Agama:

Mohd Na’im Mokhtar

Menteri Belia dan Sukan:

Hannah Yeoh Tsew Suan

Menteri Sumber Manusia:

V. Sivakumar

Menteri Kesihatan:

Zaliha Mustafa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak):

Armizan Mohd Ali

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram