BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Kabinet Perpaduan Nasional yang diumumkan semalam adalah paling mengecewakan dalam sejarah negara.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, hal itu selepas seorang daripada ahli Kabinet yang mempunyai isu pertuduhan jenayah berat tetap dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Tegas beliau, perkara itu boleh diibaratkan seperti menjual maruah negara semata-mata kerana kepentingan peribadi individu tertentu.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggadai prinsip tatakelola yang baik seperti yang dijaja semasa kempen pilihan raya apabila melantik kleptokrat menganggotai kabinet.
“Ini adalah barisan kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang telah dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
‘Kabinet kleptokrat yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat ini tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca lagi: “Tahniah TPM, Kabinet terbaik”, reaksi sinis Ahmad Fadhli
Mengulas lanjut, Muhyiddin juga mempersoal Perdana Menteri yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan.
Jelas beliau, perkara itu merupakan satu amalan yang membawa kepada pemusatan kuasa dan penyelewangan berskala besar seperti yang berlaku dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini.
Kata Ahli Parlimen Pagoh itu, strategi Anwar dalam Kabinet Perpaduan Nasional boleh mempengaruhi dan memberi kesan buruk terhadap keyakinan rakyat serta pelabur.
“Bagaimana rakyat dan pelabur boleh percaya terhadap kepimpinan Anwar apabila beliau berbohong kepada seluruh dunia mengenai agenda anti rasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat jelata.
“Prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti nyata dikompromi.
“Selain itu, Ahli Parlimen yang dikenali dengan sikap cauvinis melampau dilantik menerajui kementerian tertentu yang bakal mengundang kontroversi.
“Boleh dijangkakan dasar bersifat perkauman yang ekstrem akan diperkenalkan,” katanya.
Muhyiddin menambah, sistem dalam negara telah rosak apabila individu bankrap moral dan prinsip boleh dilantik menerajui negara dan yang terpalit dengan jenayah rasuah menganggotai kabinet.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram