DI zaman serba canggih dan moden ini, siapa lagi yang mahu menggunakan mesin taip untuk menaip surat atau sebarang dokumen. Jika dahulu, khidmat tukang taip ini mudah kita lihat di mana-mana, tetapi tidak lagi di zaman sekarang.

Walaupun dunia semakin maju, namun lelaki bernama Paul Schweitzer ini tetap sedia dengan mesin taip. Sejak puluhan tahun lalu sehingga sekarang, tanpa jemu dia akan menghabiskan waktu di sebuah kedai kecil yang terletak di bandar New York. Kedai mesin taip yang diwarisi daripada bapanya itu sentiasa menerima kunjungan pelanggan sejak sebelum kewujudan teknologi canggih.

Zaman remaja Paul banyak dipenuhi dengan memori mengendalikan mesin taip di kedai milik bapanya itu. Pada peringkat awal, Paul sering dipanggil bapanya, Abraham Schweitzer, untuk membantu kerja-kerja pengurusan di kedai Gramercy Typewriter Co.

Bermula dengan aktiviti menaip, memastikan mesin dapat beroperasi dengan baik sehinggalah membaiki peralatan yang rosak, kesemuanya dilakukan oleh Paul. Penggunaan minyak dan dakwat yang sering kali mengotorkan bajunya adalah perkara biasa.

Daripada situ timbul minat dan sayangnya pada mesin taip. Sebab itu juga dia mewarisi pekerjaan sebagai tukang mesin taip dari muda sehingga memasuki usia warga emas. Sebelum itu, Paul pernah berkhidmat dalam bidang ketenteraan selama tiga tahun. Namun, sekembalinya ke rumah, dia tekad untuk meneruskan kerjaya sebagai tukang mesin taip di Gramercy Typewriter Co, kedai yang dibina ayahnya.

Sejak tahun 1950-an sehingga kini, Paul tetap setia dengan mesin taip.
Kedai yang dimulakan ayahnya di New York ini diwarisi oleh Paul dan masih beroperasi hingga sekarang.

Minat Paul bukan hanya menguruskan alat semata-mata, bahkan dia turut mempunyai perasaan yang berbeza semasa mengendalikannya. Melihat perkataan yang tertera pada helaian kertas mampu mengalihkan perhatiannya untuk terus fokus terhadap pergerakan mesin.  Keseronokan itu ditambah dengan bunyi yang terhasil daripada ketukan papan kekunci.

Sejak dari tahun 60-an hingga 80an, boleh dikatakan hampir setiap meja di pejabat pada zaman itu memiliki mesin taip. Alat ini begitu popular digunakan kerana memudahkan urusan kerja termasuklah surat-menyurat dan dokumen.

Paul mula berkecimpung dalam dunia mesin taip sejak tahun 1932. Kini, walaupun usianya sudah memasuki 80-an, dia masih lagi gagah meneruskan legasi yang diperturunkan.

Menariknya, penglibatan selama puluhan tahun ini menyebabkan dia digelar sebagai tukang mesin taip terakhir. Malah, perniagaan yang diwairisnya ini masih lagi kekal beroperasi sehingga sekarang. Perniagaannya yang sudah beroperasi lebih lapan dekad kini menyandang gelaran sebagai kedai mesin taip tertua di New York.

Paul masih setia membaiki mesin taip.

Pada zaman sekarang, sudah sukar untuk menemui individu yang masih lagi menggunakan mesin taip dalam urusan kerja. Peralatan ini telah digantikan dengan komputer dan pencetak yang lebih mudah dan pantas.

Namun, ia tidak menjadi masalah buat Paul untuk meneruskan legasi lama ini. Perniagaan mesin taip yang diwarisi daripada ayahnya juga akan diteruskan oleh anak lelakinya, Justin Paulus. Justin yang membesar bersama mesin taip juga mempunyai minat yang sama seperti ayah dan datuknya.

Walaupun perniagaan mesin taip ini sudah berada pada generasi ketiga, Paul masih lagi bekerja selagi dia terdaya. Minatnya tidak pernah pudar membuatnya tidak memikiran masa untuk bersara. Selagi kesihatan mengizinkan, dia mahu bersama-sama Justin untuk membantu mengendalikan perniagaan warisan ini.

Tambahan lagi, pengalaman Paul yang membaiki ratusan ribu mesin taip sepanjang penglibatannya dalam bidang ini membuatkan dia sentiasa dicari. Malah, selebriti popular zaman dahulu seperti Tom Hanks juga pernah mendapatkan khidmatnya untuk membaiki mesin taip yang bermasalah.

Uniknya lagi, di kedai ini terdapat banyak koleksi mesin taip yang masih cantik dan elok. Malah, kualitinya masih elok dan boleh diguna pakai, malah juga jadi tumpuan golongan kolektor.

Khidmat Paul bukan sekadar menjual dan membaiki mesin taip, malah masih ada pelanggan yang datang ke kedainya memerlukan khidmatnya untuk membuat surat dan dokumen. Sudah tentu Paul menunaikannya dengan menaip menggunakan mesin taipnya.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram