“AKHIRNYA saya terpaksa membuang perasaan malu untuk meluahkan isi hati ini. Sudah terlalu lama saya memendam rasa, menanggung kecewa, kecil hati, sedih dengan perangai suami saya, Ibran. Kini saya terpaksa buat keputusan sendiri, biarlah segala-galanya berlalu menjadi penyebab perpisahan kami, jika ini boleh meredakan tekanan perasaan dan jika itu ketentuanNya. 

“Masalah saya rasanya memang berat tetapi tidak ada tempat nak mengadu. Nak bercerita dengan adik beradik terasa malu, sebab saya kakak bermasalah pula. Nanti apa kata mereka. Nak mengadu dengan emak, emak dah tiada. Akhirnya terpaksa tanggung sendiri dan saya berserah walau apa juga yang akan terjadi.’’ Itu cerita Rana ketika berkongsi tentang penderitaan yang ditanggung. 

“Umur dah dekat 50 tahun, anak-anak dah remaja, ada yang dah masuk universiti dan kolej, cuma yang kecil masih bersekolah menengah. Tetapi perangai suami saya semakin hari semakin tak sedar diri. Sanggup berbohong semata-mata untuk memenuhi hajat di hati. 

“Pada awal hinggalah lebih 10 tahun berkahwin, perangai suami saya tak macam ni. Dia ambil berat masalah anak-anak, suka bergaul dengan ahli keluarga, tetapi sedikit demi sedikit berubah, alasannya selalu sibuk. 

“Saya maklum umur makin meningkat, tanggungjawab pejabat bertambah berat dan banyak yang harus diselesaikan. Jadi kalau dia kata sibuk, saya faham. Sebab saya pun bekerja, sama-sama sibuk dengan tugas dan kita faham masalah masing-masing. Tetapi takkan hujung minggu pun susah nak berinteraksi dengan anak-anak. 

“Kalau dulu kami sering bawa anak anak ke pantai. Itulah tempat yang kami mampu, sebab nak pergi taman tema dengan anak empat orang memang mahal, kata Ibran, ‘buat apa membazir, kita perlu simpan duit untuk masa depan mereka’. Selain kami sudah beli rumah tentu banyak wang yang diperlukan. 

“Tetapi bila anak bertambah remaja, nak berjalan ke rumah saudara mara pun tak ada masa, sibuk. Apa lagi kalau balik kampung, anak-anak bukan di bawa bertemu saudara mara, tetapi melepak dalam rumah nenek. Sedangkan sepupu sepapat beraya ke merata tempat. Tentu anak-anak bosan. 

“Akhirnya anak-anak menolak beraya di kampung. Kata mereka buat apa? Lebih baik di rumah, paling tidak boleh ada rakan-rakan hendak datang rumah beraya. Lagi meriah. 

“Masalahnya saya tak dapat beraya ke rumah adik beradik, cuma duduk rumah melayan masak makan anak anak dengan tetamu mereka. Sementara Ibran suka duduk rumah, katanya kita tak perlu ke rumah adik beradik, biar mereka jumpa kita. Fikirkan kebenarannya, saya diam kerana perangai saya tak suka bantah, apa lagi bertengkar. Ikut aja cakap suami.  

“Nak jadikan cerita satu hari, Lela anak kedua saya beritahu dia nampak ayahnya dalam kereta dengan perempuan. Kemudian mereka makan di restoran, mereka berdua aja. Katanya lagi, sudah tiga hari dia simpan rahsia ini tak beritahu saya, cuma hari ini baru dia beritahu. Berdebar tapi saya bawa bertenang. Saya katakan mungkin teman sepejabatnya yang sama-sama keluar makan. Lela diam. 

“Dan saya ambil masa seminggu untuk bertanya pada Ibran, terkejut dia. Katanya dia pergi makan selepas habis meeting. Kalau sudah jam 5 petang kenapa tak balik rumah sahaja? Saya cuba bertanya. Tapi alasan Ibran, ada benda perlu diselesaikan dan mereka lapar. ‘Salah ke saya pergi makan?’

“Sejak peristiwa itu, barulah terbuka mata hati saya melihat pergerakan dan perangai Ibran yang selama ini saya ambil enteng. Kalau dulu pakai kasut lama dia tak kisah, sekarang serba baru, pakaian pun berjenama. Kenapalah saya tak nampak? Lepas itu dah pandai guna minyak wangi untuk kereta, kalau dulu dia kata membazir. Sekarang ok pula? 

“Padanlah kereta Ibran bersih dan wangi. Dia tak mahu gunakan keretanya untuk ke kedai atau keluar dengan saya atau sesekali hantar anak-anak ke stesen bas. Kereta saya jadi sasaran, saya fikir dia nak jimat petrol. Rupanya dia tak mahu keretanya kotor dan berpasir. Baru sekarang saya nampak. Aduh!!! 

“Saya perhatikan semenjak dua menjak ini anak-anak jauhkan diri dari ayah mereka. Kalau sekali sekala ayah balik awal, mereka tak mahu makan bersama, alasan mereka banyak kerja hendak disiapkan. 

“Saya juga rasa pelik mengapa mereka duduk dalam bilik bila ayah mereka ada di rumah. Akhirnya Izam pecah rahsia, dia tunjuk tiga gambar ayah mereka makan dan berjalan dengan wanita yang sama. Terkejut saya. 

“Belum sempat saya buka mulut, Lela beritahu ‘Sekarang emak percaya?’ Mereka suruh saya tanya ayah siapa wanita tersebut? Mereka malu sebab gambar itu kawan mereka yang bagi. Kawannya juga mengintip ayah mereka. Tetapi lain mereka jumpa. 

“Saya kelu tak dapat berkata-kata. Diam-diam saya beredar ke bilik dan berfikir memang Ibran kini sudah banyak berubah. Memang itu kekasihnya. Itu kesimpulan saya. Tetapi bila saya tanya Ibran, dia nafikan. Katanya dia keluar bekerja cari rezeki untuk keluarga, mengapa saya tuduh dan sakitkan hatinya. Katanya dia tak pernah terfikir nak kahwin lagi. Kalau nak kahwin, dulu masa muda dia dah kahwin, takkan sekarang umur lebih 50 tahun baru nak buat hal. Saya terdiam sebab tak pandai bertengkar.   

“Yang menyakitkan hati bila Ibran kata, ‘Tuduhlah macam-macam, nanti saya betul betul kahwin baru awak menyesal.’ Walau apa pun alasan Ibran, anak-anak tak berbohong. Mereka tentu tak suka ibu bapa mereka berpisah. 

“Tapi yang tenangkan saya, Ibran tetap balik rumah. Walaupun selalu lewat, mungkin kerana wanita tersebut masih bersuami. Mungkin mereka tunggu masa yang sesuai untuk buat keputusan dan berterus terang apa tindakan selanjutnya. 

“Saya tak mahu keruhkan suasana tapi saya percaya people do change, termasuk Ibran. Kalau dulu baik, kini ingin mencuba yang baru. Mungkin bunga-bunga cinta mula subur dalam hati Ibran sekarang. Kalau tidak, takkan dia sudah pandai cari teman wanita.

“Tetapi dia terpaksa terima saya dan anak-anak kerana usia perkahwinan kami sudah lebih 20 tahun. Mungkin dia belum berani melepaskan saya atau belum ada keyakinan diri. Atau mungkin kekasihnya belum mendesak supaya mereka cepat kahwin. Jadi saya cuba bersabar tidak mahu keruhkan suasana, bimbang Ibran ceraikan saya jika saya ganggu fikirnnya. 

“Saya mesti bersabar dengan perangai dan perubahan Ibran demi masa depan anak-anak. Tetapi tindakan dan perangai anak-anak muda sekarang amat berbeza. Mereka cepat memberontak. Lesya dan Lela terus terang beritahu mereka tak boleh terima perangai ayah yang sudah tua masih nak bercinta lagi. Mereka suruh saya bertindak putuskan hubungan ayahnya sebelum mereka terlanjur lebih buruk lagi, kecualilah saya bersedia bermadu. 

“Anak-anak terus mendesak. Kata mereka, saya ada kerja dan mereka pun jika ada rezeki insya-Allah akan bekerja setahun dua lagi. Mereka boleh jaga saya jika ditakdirkan saya kena cerai. Kata-kata mereka membuat saya terlalu sedih. Tetapi anak-anak lebih sedih dan kesiankan nasib saya. 

“Mereka tak sangka ayah mereka bercinta lagi. Sedangkan saya tidak pernah bersangka buruk, bertengkar atau bergaduh dengan ayah mereka. Lebih sedih lagi kata mereka kerana saya terlalu percayakan suami, hingga ditipu hidup-hidup. 

“Mereka ingatkan saya tentang masa depan saya bersama ayah mereka. Kata mereka, tak lama lagi ayah akan bersara demikian juga dengan wanita tersebut. Bila bersara nanti, ayah ada duit beratus ribu, mungkin setengah juta dalam tangan. Manusia boleh berubah, begitu juga dengan ayah bila banyak duit, dia tidak akan pedulikan saya lagi. Mungkin ayah lebih sayangkan isteri baru dan anak-anak tirinya. 

“Kata mereka, ayah mahu hidup senang bersama isteri baru. Waktu itu apa akan jadi dengan emak, pasti emak diceraikan atau ditinggalkan setelah emak berkorban dari muda hingga tua demi kesenangan hidup ayah. Mungkin ayah madukan emak, adakah emak suka bermadu? Mereka sedih akhir-akhir usia hidup emak terseksa?

“Kami tahu dan kami lihat selama ini emak yang berkorban bantu ayah uruskan kami, urus makan minum dan keluarkan duit untuk pelajaran kami, bukan ayah. Ayah ambil mudah dalam semua hal dan lepaskan kepada emak. Jadi kami tak sanggup lihat ayah ceraikan emak bila hidupnya senang, bila bersara dengan isteri barunya nanti. 

“Walaupun saya tidak tunjukkan bukti gambar Ibran dengan wanita tersebut, tetapi nampak gayanya Ibran seolah-olah tahu bahawa rahsianya sudah terbongkar. Tetapi dia tetap nafikan, sebaliknya salahkan saya kerana terlalu percaya cerita orang dan buat tuduhan jahat. Dia tidak tahu orang yang sampaikan berita itu adalah anak-anaknya sendiri. 

“Sebenarnya terlalu banyak hendak saya tanyakan kepada Ibran, tetapi belum sempat saya tanya, Ibran tuduh dan kutuk saya macam-macam. Seolah-olah saya bersalah. Akhirnya lidah saya kelu berkata-kata, saya cuma menangis sedangkan dalam hati ini mendidih membara seperti gunung berapi tunggu masa meletup. 

“Sementara itu, perangai anak-anak semakin jauh dari ayah mereka. Masing masing sibukkan diri belajar, duduk asrama, enggan jumpa ayah, semua jauhkan diri. Masalahnya saya turut terpinggir dan tenggelam dalam tekanan perasaan. 

“Saya salahkan diri sendiri. Ini semua kelemahan saya, yang saya terpaksa terima apa juga perbuatan Ibran. Saya yakin saya akan dimadukan kerana dia sekarang terlalu pentingkan diri dan sering tidak puas hati dengan keadaan saya. Dia buat saya jadi serba salah. 

“Di hati saya sekarang hanya ada anak anak, mereka tempat saya bergantung, bukan Ibran seperti yang saya impikan selama ini.’’ Demikian cerita Rana yang terpaksa menyerah kerana kelemahan dirinya sendiri yang tidak berani bertindak mempertahankan dirinya.         

Sekiranya anda ingin menghubungi penulis telefon 0192393419 atau ingin melahirkan masalah anda sila e mail [email protected]  atau [email protected]