DCCK : Wahai wanita jangan biarkan diri dibelit hutang suami 

Dari Penulis

RAMAI peserta yang mengikuti Kelas Bimbingan Guaman Syariah dan Majlis Ramah Tamah anjuran oleh KSIT (Kelab Sokongan Ibu Tunggal) pada 10 dan11 Disember lalu bukan sahaja didedahkan dengan masalah berkaitan Mahkamah Syariah seperti nafkah dan hadanah, malah turut membincangkan masalah besar ibu-ibu tunggal yang terbelit dengan hutang yang sengaja ditinggalkan oleh bekas suami masing-masing. 

Ibu-ibu tunggal ini bukan sahaja menderita kerana tidak mendapat nafkah anak-anak selepas diceraikan, malah mereka diikat serta dibelit dengan hutang-hutang bank yang sengaja dirancang oleh bekas suami masing-masing. 

Bayangkan sebelum bercerai, si isteri dipujuk supaya membuat pinjaman untuk kegunaan keluarga konon, tetapi selepas dapat apa yang dikehendaki, mereka pula diceraikan dan ditinggalkan oleh bekas suami dengan hutang keliling pinggang. 

Peserta program dua hari yang berlangsung di sebuah hotel di ibu kota juga diberitahu, masalah hutang ini bukan setakat belasan ribu, malah ada yang mencecah hampir RM100K, dan bukan dengan sebuah bank, malah dengan beberapa buah bank. Kalau tidak di bayar, mereka akan jadi lebih menderita lagi apabila faedah hutang mencecah puluhan ribu. 

Bimbang dengan risiko hutang atas nama si ibu terus bertimbun, maka ibu-ibu tunggal terlibat terpaksa terus membayar hutang dengan bank-bank tersebut. Akibatnya bukan sahaja menyulitkan kehidupan ibu-ibu tunggal menyara anak-anak mereka, tetapi membuat kehidupan dan masa depan anak-anak bertambah perit dan menyeksakan. 

Dalam sesi Pengurusan Pembiayaan dan Penyelesaian Pinjaman Perumahan dan sebagainya yang dikendalikan oleh Puan Suhaila Sanusi, Senior Credit Manager dari sebuah bank terkemuka ibu kota menjelaskan masalah ibu-ibu tunggal terpaksa membayar hutang bekas suami memang banyak berlaku. Jadi ibu-ibu tunggal mestilah memahami risiko berhutang dengan bank sebelum buat pinjaman. 

“Bincang dengan suami sebelum berhutang, tambahan jika suami perlukan duit untuk kegunaan perniagaan dan sebagainya. Janganlah mudah membuat hutang atas nama sendiri semata-mata hanyut dengan janji manis suami kerana akhirnya diri sendiri yang menderita,” ulasnya. 

Puan Suhaila juga berkesempatan menunjuk ajar teknik penyelesaian mudah bagi ibu-ibu tunggal bagaimana mengatasi hutang yang ditinggalkan oleh bekas suami. Para peserta juga diajar tentang perbezaan jenis hutang yang melibatkan CTOS dan CCRIS. 

“Tidak kurang juga peserta melahirkan masalah mereka yang terikat dengan pembelian rumah yang dibeli atas nama bersama tetapi setelah bercerai, bekas suami tinggalkan masalah hutang bayaran bulanan rumah tersebut kepada bekas isteri atas alasan si isteri yang duduk rumah itu, bukan dia (suami), jadi bekas isterilah yang bertanggungjawab bayar hutang rumah tersebut. 

“Tetapi bekas suami sering memberi ingatan jika rumah tersebut dijual, bekas suami mendesak hasil jualan rumah tersebut mestilah dibahagi sama rata. Ini sudah tentu tidak adil dan menyakitkan hati bekas isteri yang selama ini terpaksa bayar rumah tersebut sendirian tanpa bantuan bekas suami. 

“Ibu-ibu tunggal diberitahu dan diajar bagaimana hendak menjual rumah tersebut jika mereka sudah tidak mampu lagi membayarnya setiap bulan, ataupun sentiasa didesak oleh bekas suami untuk menjual rumah tersebut. 

“Nasihat beliau, bagi rumah yang dibeli ada dua nama  (suami dan isteri) dan rumah masih ada hutang bank, dan jika ibu tunggal hendak menjual rumah tersebut kerana tidak mampu membayar ansuran setiap bulan ataupun bekas suami terdesak hendak menjualnya, maka kedua pihak mestilah berbincang dengan bank, supaya rumah tersebut diserahkan kepada salah satu pihak. 

“Sebagai contoh, jika ibu tunggal tidak mampu atau tidak mahu lagi rumah tersebut, dia boleh menjualkan rumah tersebut kepada bekas suami melalui bank dengan kaedah Refinance atas nama suami, di mana pihak bank akan menamakan semula rumah tersebut kepada bekas suami seorang sahaja. 

“Setelah pihak bank menilai semula harga rumah tersebut, barulah duit baki jualan rumah itu diserahkan kepada bekas isteri mengikut perintah mahkamah Syariah. Secara tidak langsung si isteri bebas daripada membayar hutang dan ansuran bulanan rumah tersebut. 

“Jika sekiranya kedua pihak (suami atau isteri) tidak mahu lagi memiliki rumah tersebut, mereka berdua juga hendaklah datang ke bank dan bincang untuk mencari pembeli rumah tersebut. Semua urusan jual beli akan diuruskan oleh bank. Makna kata mereka tak perlu mendapatkan khidmat agen jual rumah. 

“Sekiranya rumah tersebut di kaveat juga, masalah ini boleh di atasi jika kedua pihak datang berbincang dengan bank bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut. Pendek kata rumah yang asalnya atas dua nama suami isteri pun boleh diatasi dengan bantuan dan nasihat bank untuk namakan semula pemilik rumah itu, jika salah satu pihak berminat memiliki rumah tersebut. 

“Peserta kursus juga mendengar kes seorang ibu tunggal terpaksa melangsaikan hutang bekas suaminya yang membuat banyak hutang bank dengan menjerat isterinya sebagai penghutang. Seperti biasa setelah hajat terlaksana, si suami berusaha mencari helah menceraikan isterinya dengan pelbagai alasan. Kita faham tujuan bekas suami tidak mahu bayar hutang bank dan membiarkan bekas isteri memikul beban hutang yang dibuatnya. 

“Akibatnya sudah pasti bekas isteri terpaksa tanggung hutang bekas suami yang telah lari tinggalkan keluarga bersama kereta, motor dan asset lain. Akibatnya si ibu tunggal ini terpaksa berkorban berhempas pulas membayar hutang bekas suaminya yang telah ‘hilang’. Ini bukan kejadian terpencil, malah sudah banyak berlaku akibat sikap isteri yang terlalu mengikut kehendak dan perintah suami, akhirnya kena tinggal dan diceraikan juga. 

“Menurut Suhaila lagi, jika kereta atau motor tersebut atas nama ibu tunggal, maka beliau boleh bertindak dengan membuat laporan polis bahawa keretanya atau motornya kena curi. Biarlah polis mencari, bertindak untuk mendapatkan balik kereta tersebut. Jika berjaya, kereta itu kemudian boleh dijual jika beliau tidak mahu memiliki lagi,” tambahnya lagi. 

“Ada juga ibu tunggal diisytiharkan bankrap gara gara suami menggunakan nama isteri untuk membuat pinjaman bank. Lebih malang tanpa disedari, tiba tiba bekas isteri terima surat yang dia diisytiharkan bankrap oleh pihak Insolvensi, sedangkan wang pinjaman bank itu bukan untuk dirinya, sebaliknya si suami yang ambil untuk kegunaan sendiri. 

“Kejadian seperti ini sering berlaku apabila si isteri tidak pernah dapat surat dari bank, mungkin si suami sembunyikan surat amaran dari bank. Setelah si isteri diisytihar bankrap kerana tidak membayar hutang barulah si isteri terima surat dari jabatan Insolvensi. Ketika itu semua sudah terlambat. 

“Jika kes seperti ini berlaku, adalah diharapkan Jabatan Insolvensi dapat bertolak-ansur dalam hal isteri teranaiya. Jika si isteri diisytihar bankrap, si isteri tidak boleh buat sebarang pinjaman peribadi dengan bank apatah lagi untuk membeli kenderaan mahupun rumah sebagai tempat berteduh selagi hutang dia dengan bank belum selesai. 

“Dengan status bankrap ini, secara tidak langsung penghidupan ibu tunggal juga anak-anaknya akan turut terjejas, kerana si ibu sukar mendapat pekerjaan kerana sebagai seorang bankrap dia tidak boleh membuka akaun bank, melainkan setelah si ibu ini mendapat kebenaran daripada Jabatan Insolvensi. 

“Jika sekiranya si ibu tunggal tadi hendak berkerja sendiri seperti berniaga sudah pasti dia perlukan modal yang mencukupi untuk memulakan perniagaan. Tetapi sebagai seorang bankrap sudah pasti dia tidak boleh memohon pinjaman bank. 

“Jadi bagaimana si ibu tunggal ini hendak memulakan kehidupan baru dengan berniaga tanpa modal. Kecuali dengan bantuan saudara mara. Bagaimana pun sudah pasti dia perlukan akaun bank untuk urusan perniagaannya. Jika ini berlaku, tidak ada jalan lain melainkan dia mesti berbincang dengan pihak Insolvensi untuk membolehkan dia membuka akaun bank. 

“Kerana dengan adanya akaun bank, bisnesnya boleh bergerak dan dia pasti  mampu membayar balik ansuran bulanan ke Jabatan Insolvensi bagi melangsaikan hutang-hutang yang dibelit oleh bekas suaminya, supaya dia boleh bebaskan dirinya daripada status bankrap ini .

“Tidak dinafikan masih ramai ibu tunggal yang kurang faham kesan dan akibatnya apabila dirinya diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi. Kerana itu hati-hati jika membuat pinjaman walaupun untuk membantu suami, kecuali anda sudah betul-betul yakin bahawa satu hari nanti anda tidak dibelit dengan hutang jika anda ditinggalkan. 

Kata beliau lagi, terdapat juga harta sepencarian iaitu rumah masih belum dilaksanakan oleh bekas suami kerana terdapat bekas isteri masih tidak faham bagaimana membuat penjualan rumah yang masih dalam hutang bank, sementara bekas suami enggan bekerjasama. 

Di sinilah peranan Puan Suhaila dalam memberi penerangan dan pencerahan akan kaedah dan langkah-langkah selamat atas pengurusan harta tersebut. Penerangan beliau berjaya membuka mata ibu-ibu tunggal untuk meneruskan penjualan atau pembelian tanpa risiko. Tunjuk ajar beliau juga banyak membantu merea yang bermasalah untuk kurangkan tanggungan hutang mereka. 

Akhir kalam, beliau menasihatkan peserta bengkel berhati-hati ketika membuat pinjaman bank supaya anda tidak terikat dengan hutang, lebih malang lagi jika bukan anda yang menerima faedah dan keuntungan dari pinjaman itu.

Minggu depan sama-sama kita ikuti masalah yang dibangkitkan oleh ibu ibu tunggal Dalam Kelas Bimbingan Guaman Syariah yang dibawa oleh peguam Cik Imania Ismail atau lebih mesra dengan panggilan Mizz Nina. 

Kelas beliau telah menyingkap banyak kes mangsa keganasan rumahtangga, pengabaian nafkah anak, kelewatan dalam meluluskan perintah hak jagaan anak, perintah penghakiman yang kurang terperinci dan jelas dalam kaedah perlaksananya. 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Telefon di tangan, anak di pinggiran

Oleh : Dr Mohd Afifuddin Mohamad DI sebuah restoran, seorang ayah duduk bersama isteri dan anak-anaknya. Makanan terhidang cantik di...

More Articles Like This