ADLY ZAHARI./ Gambar media sosial

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) kini giat mengumpul maklumat mengenai anggota dan pesara tentera yang terjejas akibat banjir di beberapa buah negeri.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, usaha itu giat dilakukan menerusi beberapa badan kebajikan tentera termasuk Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, tumpuan adalah menyalurkan bantuan segera berkaitan kerosakan kediaman selain barangan makanan serta peralatan elektrik.

Selain itu, katanya lagi, MINDEF juga sedang mengumpulkan maklumat lengkap bagi menilai kerosakan yang dialami mangsa.

“Kebajikan anggota atau veteran tentera memang menjadi keutamaan MINDEF sejak dulu dan sudah pasti kami akan memantau dan meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan segera bagi meringankan bebanan mereka yang ditimpa musibah berkenaan.

“Menerusi JHEV, semua data dan maklumat berkaitan pesara tentera akan diperoleh dengan mudah kerana mereka mempunyai simpanan rekod.

“Insya-Allah sekiranya semua maklumat kita peroleh kelak, bantuan akan disalurkan segera,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Baca artikel lain: Kadar gaji minimum RM1,500 ditangguhkan

Mengulas lanjut, Adly berkata, MINDEF menyediakan aset serta kemudahan logistik untuk dihantar ke semua lokasi banjir khusus di Pantai Timur sebagai usaha membantu mangsa bencana alam terbabit.

Katanya, langkah itu sejajar dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu semua kekuatan aset serta anggota tentera digerakkan bagi membantu mangsa banjir.

“Kita sudah menggerakkan anggota ke lokasi banjir dan sudah pasti ia membuktikan komitmen kementerian untuk memastikan keselamatan rakyat, khususnya mangsa bencana akan terjamin sepenuhnya,” katanya lagi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram