ATM terima sumbangan Hari Raya Aidilfitri lebih RM2 juta

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM2,086,800.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, jumlah tersebut merangkumi sumbangan tunai sebanyak RM1,832,800 serta sumbangan barangan bernilai RM254,000.

Katanya, sumbangan itu diterima daripada 50 buah syarikat, termasuk syarikat tempatan dan antarabangsa, selain sumbangan daripada individu perseorangan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman menyerahkan Beg Raya 2026 kepada Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT, Datin Siti Juana Md Ibrahim sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Angkatan Tentera Malaysia di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Abd Razak Aid

“Alhamdulillah, secara keseluruhannya, pada tahun ini sebanyak 61 sumbangan diterima dalam bentuk barangan atau kewangan”.

“Walaupun terdapat sedikit penurunan berbanding pada tahun lepas, namun saya tetap bersyukur kerana program ini masih mendapat sokongan daripada pelbagai pihak yang prihatin terhadap kebajikan warga ATM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada ATM di ibu negara, hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Angkatan Tentera Malaysia di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Abd Razak Aid

Sumbangan buat anggota-anggota ATM yang bertugas

Untuk rekod, sumbangan itu membolehkan ATM menyediakan sebanyak 16,000 Beg Hari Raya Aidilfitri untuk diagihkan kepada warganya yang bertugas semasa Hari Raya Aidilfitiri di dalam dan luar negara, merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Terdahulu, proses pengumpulan barangan sumbangan telah dilaksanakan sejak Februari lalu sebelum kerja-kerja pembungkusan dilaksanakan secara berfasa dengan penglibatan tenaga kerja daripada warga ATM.

Kemuncaknya, 400 beg terakhir berjaya disiapkan oleh ahli-ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) yang melambangkan tanda keprihatinan, kasih sayang serta sokongan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia yang bertugas jauh daripada keluarga menjelang sambutan Syawal.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menerima cek sumbangan bernilai RM150,000 dari Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Azizan Ariffin sambil diperhatikan oleh, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Angkatan Tentera Malaysia di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Abd Razak Aid

Dalam majlis tersebut, Timbalan Menteri Pertahanan turut menyerahkan beg sumbangan raya tersebut kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman sebagai simbolik penyerahan beg sumbangan kepada warga ATM.

Turut menerima beg sumbangan bagi mewakili Perkhidmatan ialah Panglima Tentera Darat; Jeneral Datuk Azhan Md Othman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris sebagai tanda komitmen menyeluruh kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan terhadap kebajikan warga ATM.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, pegawai-pegawai kanan ATM dan Kementerian Pertahanan, isteri pegawai-pegawai kanan ATM dan Kementerian Pertahanan, warga ATM dan ahli BAKAT.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman bergambar bersama Panglima-panglima Angkatan Tentera serta kepimpinan Jemaah Tertinggi BAKAT pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Angkatan Tentera Malaysia di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Abd Razak Aid

Dalam masa yang sama, Adly menjelaskan bahawa pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society (WOGOS) turut diterapkan bagi memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor korporat dan masyarakat, sekali gus memastikan penglibatan menyeluruh semua lapisan rakyat dalam memperkasa pertahanan negara.

Katanya, sumbangan yang diberikan sama ada dalam bentuk kewangan mahupun barangan amat bermanfaat kepada anggota ATM yang menerimanya.

“Malah dalam Islam, setiap sumbangan yang diberikan dengan ikhlas membawa berkat dan manfaat bukan sahaja kepada penerima, malah kepada masyarakat secara keseluruhan.

“Saya berharap agar pada tahun hadapan, kita akan melihat semula peningkatan dari segi jumlah penyumbang serta sumbangan yang diterima,” katanya lagi.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

MIPP tetapkan hala tuju lepas mesyuarat MT PN

PARTI Rakyat India Malaysia (MIPP) akan membuat sebarang keputusan berkaitan hala tuju politik parti itu selepas mesyuarat Majlis Tertinggi...

More Articles Like This