Penjelasan lebih mendalam berkaitan asal usul manusia dari Adam dan Hawwa berkait dengan DNA diberikan Pensyarah Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Endom Ismail bagaimana DNA bercerita tentang manusia.
Di dalam DNA kromosom Y yang ada pada manusia semuanya mengarah kepada seorang lelaki iaitu Adam. Cuma saintis Muslim kebanyakannya tidak memfokuskan kepada pencarian datuk nenek moyang manusia seperti yang dilakukan oleh saintis Kristian. Namun semua saintis genetik tahu bahawa manusia datang dari nenek moyang yang sama dan dinyatakan di dalam laporan kajian secara tidak langsung.
Menurutnya, pakar genetik populasi mengkaji asal usul manusia menggunakan DNA untuk mengetahui asal usul sesuatu kaum, bagaimana penghijrahan berlaku dan tempoh masa keberadaan manusia di muka bumi. Pakar dalam kelompok ini akan mencari jejak langkah penyebaran kaum-kaum di seluruh dunia.
Apabila kajian itu dilakukan mereka akan menghasilkan pohon phylogenetic atau kajian genealogy. Dalam kajian ini pengkaji akan membina pokok yang ada cabang dan ranting yang berselirat. Akhirnya semua ranting dan cabang itu akan bercantum pada satu pangkal nenek moyang iaitu Adam dan Hawwa.
Katakan pakar genetik populasi tadi mengkaji suku kaum di Malaysia, Asia Tenggara dan negara Asean maka pohon phylogenetic itu hanya berkembang di kawasan sini saja. Ia tidak sampai satu dunia dipetakan walaupun cabangan itu dilakukan di Asia Tenggara namun hasilnya akan kembali kepada nenek moyang yang satu Adam Hawwa.
Semua pakar genetik tahu bahawa setiap pohon phylogenetic dibina tidak kira di benua mana sekali pun akan berpunca dari satu iaitu Adam dan Hawwa.
Dari situlah asalnya teori Homo sapiens, homo erectus iaitu spesis manusia bermula. Manusia pertama iaitu Adam dari spesis homo sapiens kemudian berpecah menjadi homo erectus iaitu manusia yang keluar dari Afrika Timur menuju ke Eropah. Bila sampai ke Eropah ada manusia asal di sana homo neanderthal yang menjadi nenek moyang untuk orang Eropah.
Jelas Dr. Endom, pakar genetik tidak pernah menyangkal pembuktian itu selaras dengan Al-Quran dan Bible. Semua kajian tentang genetik tidak pernah lari daripada yang dinyatakan al-Quran.
Namun demikian pembuktian itu belum dapat menjelaskan apa yang Allah ciptakan. Ada banyak lagi konsep manusia yang kita tidak tahu. Setakat ini belum ada pembuktian bahawa manusia itu diciptakan dari tanah. Maksudnya bukan tanah yang sebenar tetapi unsur-unsur tanah dari segi kimia mahupun fizik.
Ilmu Allah terlalu luas, sebagai orang ahli genetik yang ada sedikit ilmu masih belum boleh menerangkan semuanya. Ilmu yang ada pada manusia hanya setitis air di lautan. Setakat ini pakar genetik hanya mampu membuktikan al-Quran itu benar bahawa manusia berasal dari Adam dan Hawwa. Namun macam mana dan bagaimana ia dijadikan belum ada siapa yang tahu?
Artikel berkaitan: siri 1: walaupun al-Quran mengatakan manusia berasal dari adam namun benarkah kajian sains membuktikan sebaliknya
Bila manusia pertama berada di bumi pun belum ada jawapan yang pasti sama seperti bila masa bumi ini Allah ciptakan? Saintis hanya mampu membuktikan menerusi kajian fosil yang ditemui sebab itulah wujudnya percanggahan pendapat keberadaan Adam di muka bumi ini. Ada yang mengatakan 60,000 tahun dan kajian terbaru 2013, Adam hadir ke dunia ini sekitar 200,000-500,000 tahun.
Menolak teori Darwin
Pembuktian itu bermakna teori Darwin sah-sah tidak benar dan ditolak. Tegas Dr. Endom, walaupun tanpa pembuktian itu Teori Darwin memang ditolak dari sudut ilmu dan Islam. Ia tidak selaras dengan data yang sedia ada.
Apabila ilmu genetik berkembang, ramai saintis yang menolak teori tersebut. Namun saintis walaupun seorang Islam ia perlu belajar tentang teori Darwin kerana dari situlah bermulanya konsep gen atau baka. Bila ada masalah dengan gen maka ada penyakit yang dikaitkan.
Untuk menolak teori Darwin, orang Islam kena tahu tentang teori tersebut. Dari situ barulah dapat dikenal pasti antara silap dan benarnya teori itu. Mengikut sejarahnya, Darwin menghasilkan teori tersebut bukan melalui kajiannya ke atas haiwan atau manusia tetapi hanya dengan tumbuhan. Idea itu tercetus bermula dengan kacang pea.
Soal Dr. Endom, kenapa pakar genetic menolak teori Darwin? Ini alasannya, dua belas tahun selepas penerbitan “Origin of Species”, Darwin menerbitkan “The Descent of Man, and Selection in Relation to Sex” yang membincangkan asal-usul manusia dari segi perkembangan, anatomi, variasi dan kecerdikan (intelligence).
Tambahnya, walaupun Darwin tidak pernah menyebut secara khusus manusia berevolusi daripada cimpanzi. Hasil karyanya memberi implikasi meluas bahawa beliau membayangkan bahawa semua organisma hidup terlibat dengan proses “pemilihan semula jadi” sepertimana haiwan parasit, lipas, dan tikus. Pemikiran inilah yang mencetuskan kontroversi.
Terima kasih kepada banyaknya kajian genetik pada hari ini yang telah berkembang maju dengan pelbagai teknik-teknik molecular di mana “penanda genetik” telah digunakan dan membuktikan bahawa spesies manusia adalah berbeza dengan cimpanzi.
Pada dasarnya gen manusia berbeza sebanyak 4 peratus dengan cimpanzi namun ia sudah dikira sangat besar kerana perbezaan genetik antara manusia secara amnya hanyalah 0.1 peratus.
Kajian genetik terkini menemukan kesimpulan bahawa manusia berasal dari Adam dan Hawa yang satu secara langsung menolak kenyataan bahawa manusia berevolusi daripada cimpanzi secara “pemilihan semulajadi”. Wallahu a’lam
__________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

