Dari Adam dan Hawwa lahirlah lelaki dan perempuan yang ramai serta tersebar ke seluruh pelosok bumi berbeza suku kaum, sifat, warna kulit, bahasa dan bangsa.
Perbezaan itu mencetuskan persoalan bagaimana berlainan bahasa, warna kulit dan bentuk fizikal, suku kaum yang tidak sama tetap dikatakan berasal dari Adam dan Hawwa?
Jawapannya mudah saja, kalau kita memahami sains semuanya boleh dijelaskan dengan senang. Banyak faktor mempengaruhi warna kulit, bahasa, suku kaum dan bentuk fizikal akan dibincangkan kemudian.
Tapi sebelum itu di dalam surah Al-Hujuraat: 13, Allah berfirman,
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuka-suka supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mengenal.”
Ibnu Kasir menjelaskan, Allah menciptakan manusia dari satu jiwa dan dari jiwa tersebut diciptakan jodohnya. Kedua-duanya ialah Adam dan Hawa. Kemudian daripada kedua-duanya berkembang biak menjadi berbilang bangsa yang lebih besar daripada kabilah. Sesudah kabilah terdapat tingkatan-tingkatan lainnya yang lebih kecil seperti golongan, keturunan, puak dan suku kaum.
Menjelaskan hal itu pula, Pensyarah Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi, Fakulti Saina dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Endom Ismail, kalau dari segi warna kulit mudah saja. Jika duduk di dalam bangunan maka kulit lebih cerah berbanding dengan mereka yang bekerja di tengah panas kulit akan menjadi gelap. Begitu juga halnya mereka yang tinggal di London dengan kita di Malaysia warna kulitnya tidak sama. Itu semua disebabkan oleh matahari.
Kemudian dikaji lebih mendalam, matahari ada kaitan dengan penghasilan melanin yang dihasilkan di bawah kulit. Melanin fungsinya untuk menangkis cahaya matahari yang mempunyai sinar uv berbahaya daripada terkena sel kulit. Jika kita berjemur di bawah matahari maka melanin yang dihasilkan lebih banyak supaya sinar uv itu tidak menjadi mudarat, kesannya kulit akan menjadi lebih gelap.

Penghasilan melanin pula dikawal oleh gen. Untuk hasilkan protein mesti ada gen itulah ajaibnya semua protein di dalam badan manusia mesti ada gen. Gen itulah yang maksudkan dengan baka.
Kalau baka yang berkulit putih maka putihlah jika baka hitam maka akan berkulit hitamlah. Kulit yang putih apabila dipengaruhi matahari akan menjadikan hitam. Namun begitu, matahari di London tidak sama dengan matahari di Afrika kerana pecahan benua pula mempengaruhi. Ada tujuh benua yang memberi ciri-ciri fizikal manusia berbeza sesuai dengan keadaan persekitarannya.
Selain itu, baka atau gen yang diwarisi daripada ibu dan ayahnya juga mempengaruhi bentuk fizikal namun ada juga baka kecil tetapi anaknya semua besar-besar. Di dalam keadaan itu pula kena lihat, pemakanannya bagaimana. Banyak zat, vitamin dan mineral yang boleh membantu tumbesaran misalnya kalsium.
Pengambilan nutrisi yang mencukupi boleh mempengaruhi saiz dan ciri-ciri fizikal. Allah jadikan tubuh manusia amat ajaib yang senang beradaptasi dengan persekitaran untuk membezakannya antara satu kaum dengan kaum yang lain. Di situ tidak timbul keraguan, kalau berasal dari Adam dan Hawwa kenapa mesti berbeza ciri-ciri fizikal?
Kemudian perbezaan bahasa pula, Dr. Endom berpendapat, dulu saintis percaya bumi ini adalah seperti lempeng kemudian berlaku gempa bumi dan letusan gunung berapi. Akhirnya, lempeng itu terpisah dan jadilah pecahan kepada benua seperti yang ada pada hari ini.
Dari situlah berpecahnya spesies manusia menjadi berbilang bangsa, bahasa, dan warna kulit serta bentuk fizikal. Kemudian ditambah pula dengan keadaan muka bumi, perbezaan cuaca, persekitaran dan keperluan kehidupan di mana manusia berada. Itulah yang menjadikan manusia berbeza tetapi tetap berasal dari nenek moyang yang sama.
Apabila berada di tempat yang berbeza cuaca dan rupa muka bumi bentuk fizikal manusia akan berubah. Adakah itu bermakna gen menyesuaikan diri dengan tempat di mana manusia tinggal?
“Ya! Tapi dari segi teorinya gen seseorang tidak akan berubah sejak ia dilahirkan tidak kiralah di mana pun tempat tinggalnya. Contohnya, Ahmad duduk di Malaysia dan memang dilahirkan di negara ini tetapi sampai suatu masa dia terpaksa berpindah ke Artik. Jujukan DNA yang dimiliki Ahmad sama, tapi RNA dan protein akan berubah.
“Katakan saya ada gen A dan Ahmad juga ada gen A, jujukannya sama tetapi RNA dan protein yang dihasilkan tidak sama iaitu masa bila dan berapa banyak dihasilkan berbeza. Adaptasi gen itu berlaku pada RNA dan protein, jika di Artik kita tidak perlukan jumlah RNA dan protein yang banyak kerana keadaan persekitaran maka ketika itu ia akan dikurangkan secara automatik.
Apabila kembali semula ke Malaysia dan gen itu diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan maka ketika itulah ia ditambah. Badan akan lakukan itu secara semula jadi,” jelasnya. Wallahu a’lam
__________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

