TAHUN 2022 ini menyaksikan ramai selebriti tanah air memilih untuk melangkah ke gerbang perkahwinan.
Tahniah di ucapkan kepada artis kesayangan ramai ini dan semoga mahligai yang dibina atas nama cinta dan kasih itu akan terus berkekalan mewangi hingga ke syurga.
Jom kita selongkar antara selebriti yang menjadi raja dan ratu sehari pada tahun ini.
Heliza Helmi & Datuk Seri Mahadi
1 Januari 2022

BERITA pernikahan penyanyi yang juga aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi,36, dengan ahli perniagaan Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman,39, agak mengejutkan peminat kerana mereka berjaya merahsiakan percintaan mereka selama ini.
Heliza sah bergelar isteri kepada Mahadi dengan sekali lafaz pada pukul 11.11 pagi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Heliza menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin dan senaskah al-Quran.
Azzam Sham & Sheryl Shazwanie
1 Januari 2022

PASANGAN penyanyi Azzam Sham dan Sheryl Shazwanie sah bergelar pasangan suami isteri pada 1 Januari 2022 di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan. Sheryl menerima mas kahwin berjumlah RM300 dan cincin serta gelang.
Sebelum ini mereka terlebih dahulu mengikat tali pertunangan pada 30 September 2021 iaitu pada tarikh lahir Sheryl.
Syura Badron & Muhammad Farizat Ismail
22 Januari 2022

SEMBILAN tahun memegang status ibu tunggal, akhirnya penyanyi Syura Badron,36, menamatkan zaman jandanya dengan Muhammad Farizat Ismail,28, di Masjid A-Salam, Puchong Perdana.
Syura menerima jongkong emas seberat 1.5 gram manakala wang hantaran pula dipersembahkan dalam bentuk set barangan kemas.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Syura memiliki tiga cahaya mata iaitu Nurul Dania Irdani, 15, Nurul Qaisara Sofia, 13, dan Muhammad Irfan Aryan, 11.
Usop Mentor & Nur Fatihah
4 Februari 2022

PENYANYI Usop Ment memilih Nur Fatihah Md Hashim sebagai isteri yang sah dalam majlis pernikahan yang diadakan di Pejabat Agama Daerah Butterworth, Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam, Pulau Pinang pada 4 Februari lalu.
Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Butterworth, Pulau Pinang, Ustaz Harun Idris bersaksikan bapa Nur Fatihah, Md Hashim Nordin dan bapa Usop iaitu Muhammad Noor Ismail.
Usop menyerahkan mas kahwin sebanyak RM3,000 dan seutas gelang emas buat Fatihah.
Zulin Aziz & Farhan Norzaini
20 Februari 2022

PELAKON dan pengacara Zulin Aziz akhirnya bertemu cinta sejati dengan lelaki pilihan hatinya iaitu Farhan Norzaini yang merupakan rakan kongsi perniagaannya.
Pasangan ini dinikah pada 20 Februari di Masjid Negara, Kuala Lumpur, pukul 9.20 pagi. Zulin menerima mas kahwin RM80, sebentuk cincin dan wang hantaran bernilai RM30,000.
Vanidah Imran & Arifabillah Idris
7 Julai 2022

AKTRES jelita, Vanidah Imran,49, sah bergelar isteri kepada seorang jurutera yang dikenali sebagai Arifabillah Idris,43, dengan sekali lafaz di Titiwangsa pada 7 Julai.
Majlis pernikahan pasangan berkenaan dikendalikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi dengan berwalikan adik Vanidah, Johan Imran pukul 12.12 tengah hari.
Vanidah pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan pemuzik, Rashidi Ishak pada 1 Oktober 2000 sebelum bercerai pada 9 Ogos 2018. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Mikail Aimran dan Maryam Rashika.
Wany Hasrita & Al-Adib Fahmi
22 Julai 2022

PENYANYI bersuara lunak merdu, Wany Hasrita kini bergelar isteri kepada Mohd Al-Adib Fahmi Harun dalam majlis yang diadakan di Damansara Perdana pada 22 Julai.
Wany menerima mas kahwin sebentuk cincin berlian selain tidak ada dulang hantaran daripada kedua-dua pihak.
Pasangan ini terlebih dahulu bertunang pada 26 Februari lalu.
Aizat Amdan & Elyssa Alia Illias
14 Ogos 2022

TIGA tahun bercinta akhirnya penyanyi Aizat Amdan sah bergelar suami kepada pengurusnya, Elyssa Alia Illias pada 14 Ogos dalam majlis pernikahan yang diadakan di A-Park Puchong.
Mereka dinikahkan bapa pengantin perempuan, Leftenan Kolonel (B) Illias Moideen disaksikan jurunikah, Ustaz Idrus Mohd Shahlan dengan mas kahwin RM300.
Shahir Zawawi & Jaskin Jaludin
2 September 2022

SELEPAS lama berteka-teki akhirnya penyanyi Shahir Zawawi,34, bergelar suami kepada pasangannya, Jaskin Jaludin pada 2 September, pukul 9.10 malam di The Royal Ballroom Bizmilla Wedding Center.
Pasangan itu dinikahkan oleh bapa Jaskin iaitu Jaludin Nongche. Shahir menyerahkan wang hantaran berjumlah RM20,000 dan mas kahwin RM300.
Sharifah Amani & Ahmed Faris
9 September 2022

PELAKON Sharifah Amani bergelar isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Impact Integrated, Ahmed Faris Amir pada 9 September lalu. Sharifah Amani menerima mas kahwin RM300 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang.
Mereka bertunang pada Jun lalu.
Mas Idayu & Sufian Che Isa
16 September 2022

SELEPAS 15 tahun hidup solo, penyanyi dangdut Mas Idayu,50, Kembali bergelar isteri kepada penerbit eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa,51 dengan hanya sekali lafaz pada 16 September di Magica Event Hall, Quill City Mall, pukul 10.40 pagi.
Mas Idayu menerima mas kahwin RM1,0001. Mereka berkenalan Ketika sama-sama terbabit dalam program Mentor 3 pada 2008.
Mas Idayu sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Aman Graseja pada 1997 sebelum bercerai pada 2006. Menerusi perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Dayini Ashiqah yang kini berusia 25 tahun.
Adam Lee & Sweet Qismina
24 Oktober 2022

PASANGAN selebriti Adam Lee dan Sweet Qismina memilih 24 Oktober sebagai hari bersejarah mereka untuk bergelar suami dan isteri. Malah, tarikh tersebut merupakan ulang tahun kelahiran Sweet yang ke-25.
Pasangan itu dinikahkan abang pengantin perempuan, Fahed Ashraf Supandi dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan merangkap Imam 1 Masjid Darul Ehsan Taman Tun Abdul Razak, Gombak, Selangor, Mohamad Khairin Hussein.
Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi menerima mas kahwin RM2,410.97 manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan serta tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak Sweet.
Najwa Latif & Akwa Arifin
11 November 2022

PENYANYI Najwa Latif selamat bergelar isteri kepada penyanyi rap, Akwa Arifin dengan sekali lafaz pada 11 November, pukul 8.30 pagi di Batu Pahat, Johor.
Najwa menerima mas kahwin berupa 2.5 gram emas.
Syifa Melvin & Safawi Rashid
28 November 2022

DENGAN sekali lafaz, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rashid selamat bernikah dengan pempengaruh dan pelakon Syifa Melvin di Hotel Hilton, Petaling Jaya pada 28 November lalu.
Pada majlis tersebut, Safawi menyerahkan mas kahwin berupa sebentuk cincin kepada Syifa.
Da’i Syed & Hana Ismail
3 Disember 2022

PASANGAN selebriti, pendakwah bebas Da’i Syed,27, dan pengacara Hana Ismail,36, sah bergelar suami serta isteri dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Ibnu Mas’ud, Kuala Lumpur, pukul 11.40 pagi pada 3 Disember.
Syed menyerahkan mas kahwin berbentuk seutas gelang emas kepada Hana.
Syed dan Hana bertunang pada 23 Oktober.
Julia Farhana & Dr Che Hafiz
14 Disember 2022

PELAKON Julia Farhana Marin membuat pengakuan apabila sudah bernikah dengan Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum di sebuah hotel pada 14 Disember lalu.
Julia berkata, majlis pernikahan mereka dilakukan secara tertutup tanpa mengundang pihak media kerana mahu menghormati permintaan pihak keluarga kedua-dua pihak.
Sebelum ini, Che Hafiz pernah berkahwin dengan pelakon dan penyanyi Lufya Omar pada 26 November 2016 sebelum bercerai pada 17 Jun 2020. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Laana Haura yang kini berusia lima tahun.
Reen Rahim & Hazim Zainal
24 Disember 2022

PELAKON Reen Rahim selamat disatukan dengan ahli perniagaan, Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin pada 24 Disember dengan sekali lafaz di Boraombak Marina, Putrajaya, pukul 9.30 malam.
Pasangan itu dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Abdul Rahim Abd. Kadir. Hazim menyerahkan mas kahwin RM1,988 berserta sedulang barangan kemas kepada Reen.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

