PELAKON Kamsani Ismail yang popular menerusi siri drama Nur dilaporkan meninggal dunia pada pukul 11.39 malam semalam akibat jangkitan kuman pada paru-paru selain turut menghidap diabetes.
Allahyarham yang berusia 60 tahun itu pada mulanya dimasukkan ke Hospital Melaka sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Rawatan Rapi (ICU).
Jenazah dimandi dan dikafankan di kediamannya di kampung Matang Klebang, Melaka sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Klebang.
Arwah meninggalkan seorang balu, Norhayati Yusoff,53 dan enam orang anak yang berusia 18 hingga 36 tahun.
Allahyarham sebelum ini banyak membintangi drama antaranya Nenek Kebayan dan Shh…I Love You.
Selepas tidak aktif dalam dunia lakonan, arwah banyak menghabiskan masa mendirikan surau dan membuka gelanggang serta mengajar seni mempertahankan diri iaitu silat bersama anaknya.

