Pasti ramai yang tidak mengenali buah kuning telur. Buah kuning telur ini merupakan spesis buah hutan yang semakin pupus. Di Semenanjung, buah ini dikenali dengan nama buah kuning telur. Manakala di Sabah, buah ini dipanggil buah lemak manis, avokado cheese ataupun kungkurad. Buah ini banyak terdapat di Kundasang, Sabah.
Buah kuning telur yang telah masak, rasanya seperti ubi rebus. Tekstur buah ini sedikit kasar tetapi isinya gebu dan rasanya lemak manis. Buah kuning telur tidak boleh dipetik muda untuk diperam. Sebaiknya biarkan buah ini masak di atas pokok dan akan gugur dengan sendirinya. Menyuntik sedikit kelainan resipi kuih ee kali ini, Cef Nabil Salleh mengolah intinya dengan menggunakan buah kuning telur untuk menghasilkan rasa lemak manis pada kuih. Boleh cuba resipi ini, tetapi kenalah mencari buah kuning telur ini dulu.
KUIH EE BUAH KUNING TELUR
- BAHAN
- 300 gm tepung pulut
- 2 biji isi buah kuning telur
- 2 sudu besar kacang tumbuk
- 1 sudu besar mentega
- 250 ml air
- BAHAN AIR GULA
4 cm halia muda – hiris
3 helai daun pandan – simpul
2 sudu besar gula - 500 ml air
Secubit garam

- CARA PENYEDIAAN :
- 1. INTI : Lenyekkan isi buah kuning telur. Campurkan dengan mentega dan kacang tumbuk, Ketepikan.
- 2. Satukan tepung pulut dan air ke dalam mangkuk. Uli sehingga menjadi doh dan bentukkan seperti bebola kecil.
- 3. Ambil satu doh bebola kecil, uli dan leperkan di tengahnya dan letakkan sesudu inti buah kuning telur. Bulatkan kembali menjadi bebola seperti buah Melaka. Ketepikan.
- 4. AIR MANISAN : Panaskan air, setelah mendidih masukkan halia, gula, daun pandan dan garam. Kacau sehingga gula larut. Ketepikan.
- 5. Akhir sekali, masukkan bebola kecil kuning telur, ke dalam air yang sedang mendidih. Biarkan seketika, apabila masak bebola akan timbul. Angkat dan tuskan airnya. Hidangkan bersama air manisan.
KREDIT GAMBAR BUAH KUNING TELUR : AFIZAH ISA & LAMAN HERBA

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

