Perkahwinan itu dikategorikan sebagai perkahwinan dirancang apabila ibu bapa calon pengantin lelaki dan isteri telah mencapai kata sepakat untuk menjodohkan kedua-dua anak mereka, walaupun calon sendiri mungkin tidak pernah berjumpa atau mengenali antara satu sama lain.
Sama ada calon setuju atau tidak, perjanjian ini boleh dimeterai antara ibu bapa semasa calon suami isteri masih lagi kanak-kanak. Ada juga calon yang hanya ditemukan apabila sudah dewasa, hanya beberapa minggu sebelum majlis perkahwinan mereka berlangsung.
Amalan ini merupakan sebahagian dari budaya masyarakat berbilang kaum yang wujud di Malaysia dan kebanyakan negara Asia lain seperti Indonesia, Thailand dan India. Perkahwinan dirancang juga diamalkan oleh masyarakat di negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Afrika Selatan.
Punca Perkahwinan Dirancang
Kebiasaannya, perkahwinan dirancang diamalkan kerana ia menjadi sebahagian daripada cara hidup komuniti negara tersebut. Sebagai contoh, statistik pada tahun 2007 melaporkan 95 peratus perkahwinan di India terdiri daripada perkahwinan dirancang.
Bagi masyarakat Malaysia pula, kebanyakan perkahwinan dirancang dibuat atas dasar ingin meneruskan legasi dan mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua belah keluarga.
Ada juga individu sendiri yang meminta keluarga untuk mencarikan calon suami atau isteri kerana mereka terlalu sibuk dengan kerjaya. Sudah penat mencari namun masih belum berpeluang menemui si dia yang satu. Senang serahkan sahaja tugas ini kepada keluarga!
Ada juga perkahwinan dirancang yang dibuat kerana ibu bapa tidak mampu menyara anak-anak yang ramai. Oleh itu, anak perempuan biasanya menjadi keutamaan untuk dikahwinkan dahulu supaya tanggungjawab dapat diserahkan kepada calon suami yang dapat menjaga anak mereka.
Ada juga faktor yang tidak begitu positif dan dibuat bukan atas dasar kasih sayang, tetapi sekadar ingin melepaskan tanggungjawab atau terpaksa dengan tujuan melangsaikan hutang antara keluarga.
Kebaikan
1. Perkahwinan mendapat restu ibu bapa.
2. Melainkan jika perkahwinan dirancang atas sebab ‘menjual’ anak demi melangsaikan hutang atau kerana nama dan darjat, faktor pemilihan calon suami isteri oleh ibu bapa lebih menjurus kepada latar belakang peribadi, agama dan keluarga yang baik.
3. Jika kedua-dua calon memberi peluang kepada perkahwinan, lama-kelamaan akan wujud perasan hormat, cinta dan tarikan antara suami isteri atas sebab kualiti personaliti individu tersebut, bukan tarikan fizikal dan material samata-mata.
Keburukan
1. Boleh mengehadkan pengalaman dan peluang calon untuk melanjutkan pelajaran sekiranya dipaksa kahwin awal.
2. Boleh meningkatkan kes lari dari rumah atau kadar kahwin lari sekiranya calon tidak setuju dengan keputusan ibu bapa.
3. Anak akan hilang hormat pada ibu bapa yang telah mencabuli hak kebebasan mereka sebagai individu untuk merancang masa depan dan memilih calon pasangan hidup masing-masing.
4. Sekiranya calon suami isteri tidak setuju dengan keputusan namun menurut juga atas sebab terpaksa, perkahwinan mereka mungkin tidak akan bahagia dan akan diundangi pelbagai masalah yang boleh mengakibatkan perceraian.
5. Pasangan akan memberontak dan melepaskan perasaan kepada pasangan masing-masing. Ia boleh menjadi punca penderaan rumah tangga secara fizikal, lisan, psikologi dan seksual.
6. Kebarangkalian pasangan mengekalkan hubungan dengan teman lelaki atau teman wanita lama selepas berkahwin tinggi yang boleh mengakibatkan pasangan berlaku curang dan terlibat dalam gejala maksiat.

Apa Pilihan Anda?
Jika dilihat dari segi statistik, kadar perceraian melibatkan perkahwinan dirancang di seluruh dunia hanya empat peratus, berbanding jumlah perceraian melibatkan pasangan yang kahwin atas dasar suka sama suka yang jauh lebih tinggi.
Kajian menunjukkan salah satu sebab kejayaan perkahwinan ini ialah suami isteri tidak perlu berhadapan dengan masalah buruk sangka atau cemburu berlebihan atas sebab insiden yang pernah berlaku sebelum berkahwin.
Sewajarnya statistik ini sudah cukup untuk meyakinkan bahawa perkahwinan dirancang adalah resipi terbaik untuk membina perkahwinan yang kekal selamanya.
Namun, tidak ada kajian yang dapat mengesahkan pasangan suami isteri ini kekal berkahwin hanya kerana mereka tiada pilihan dan mengambil jalan mudah, walhal di sebaliknya berlaku banyak masalah rumah tangga lain.
Secara amnya, jika seseorang itu setuju memilih untuk hidup atas dasar pilihan orang lain, mereka juga kemungkinan akan memilih untuk terus kekal dalam perkahwinan demi orang lain, walaupun mereka sendiri tidak bahagia.
Tidak dinafikan terdapat keburukan dan kebaikan berhubung perkahwinan dirancang. Ada yang bahagia, ada yang merana.
Namun yang pentingnya ialah ibu bapa atau wakil keluarga tidak membuat keputusan atas sebab pentingkan diri sendiri kerana ia hanya akan menjejaskan masa hadapan calon yang ingin dikahwinkan.
Walaupun ia dibuat atas niat yang baik, perkara ini harus dibawa berbincang dan mendapat persetujuan dari semua pihak yang terlibat sebelum dilaksanakan.
Dari perspektif individu yang ingin dikahwinkan pula, tiada jaminan bahawa calon pasangan hidup yang dicari sendiri akan menjanjikan kebahagiaan sehingga ke akhir hayat. Jadi, adakah berbaloi tidak mendapat restu ibu bapa demi untuk bersama calon pasangan kita?
Hakikatnya, perkahwinan itu satu perjudian. Sama ada perkahwinan dirancang atau tidak, yang penting ialah sebagai individu, kita berhak membuat pilihan sendiri dan mencorak masa hadapan masing-masing. Keputusan terakhir terletak dalam tangan kita dan kebebasan itulah yang wajar diperjuangkan.

