Allah berfirman dalam surah At-Taubah yang bermaksud “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka (dengan balasan) azab seksa yang tersangat pedih (iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselarkan dengannya dahi mereka dan rusuk mereka serta belakang mereka (lalu dikatakan kepada mereka): ‘Inilah apa yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, oleh itu rasakanlah (azab dari) apa yang kamu simpan itu’.”
Berdasarkan firman tersebut, Allah telah memerintahkan setiap hamba-Nya (Muslim) yang memiliki harta mencapai nisab untuk mengeluarkan zakat setiap tahun. Ia untuk diberikan kepada yang berhak menerimanya daripada kalangan fakir serta selain mereka yang zakat boleh diserahkan kepada mereka sebagaimana telah diterangkan di dalam al-Quran.
Malah, jumhur ulama fikah sependapat mengatakan wajib zakat pada mata wang. Mata wang tersebut telah menggantikan mata wang emas dan perak yang digunakan oleh orang-orang Arab terdahulu dalam berurus niaga sebelum kedatangan Islam. Mata wang emas dikenali sebagai dinar dan mata wang perak sebagai dirham. Setelah Rasulullah s.a.w. diutus menjadi Rasul, maka dinar dan dirham telah diiktiraf sebagai mata wang yang sah bagi orang-orang Islam untuk berurus niaga.
Apakah Zakat Simpanan?
Zakat simpanan adalah wang yang disimpan di dalam akaun simpanan sama ada simpanan tetap, simpanan semasa, ASB serta lain-lain bentuk simpanan di dalam bank atau mana-mana institusi kewangan.
Jika seseorang pencarum wang simpanan membuat pinjaman ASB, pembayaran zakat mereka ditangguhkan oleh kerana pinjaman yang dibuat itu masih lagi belum milik sempurna. Ini bertepatan dengan syarat wajib zakat adalah wang tersebut hendalah milik sempurnanya.
Seseorang itu hanya dikenakan zakat setelah jumlah pembayaran balik secara tahunan kepada pihak bank mencecah atau melebihi kadar nisabnya.
Berdasarkan statistik pembayar wanita untuk zakat wang simpanan, didapati tahap kesedaran kaum wanita tentang zakat simpanan semakin meningkat.

