STESEN penyiaran berkonsepkan Islamik, TV Alhijrah membuka tirai 2023 dengan menghidangkan program-program terbaharu berlandaskan al-Quran kepada penonton setia mereka.
Lima program tersebut ialah [email protected], Akademi Qurra’, Kembara Mahsyar, Qawiy Was Here dan Assalamualaikum An-Nisa’ yang akan menyuntik satu kelainan kepada semua menerusi kaedah dakwah Islamiah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, pihak stesen mahu kembali kepada konsep asal yang lebih segar namun pada masa sama masih mengekalkan elemen ketuhanan.

“Kita nak mulakan 2023 dengan mengajak penonton untuk mengambilkan semangat perjuangan TV Alhijrah. Kita nak ajak penonton kembali kepada al-Quran.
“Sebab itu kami memilih al-Quran sebagai asas utama kepada program yang disajikan sebab fokus kami nak mengajak masyrakat Islam sama-sama menjadikan kitab suci itu sebagai panduan hidup,” katanya
[email protected] sudah mula bersiaran sejak 1 Januari pada setiap hari, pukul 11 pagi yang menampilkan pentadabbur Imam Muda Hassan, Ustaz Dr Shamsul Mohd Noor, Profesor Sharifah Hayati Syed Ismail dan Ustazah Isfadiah Mohd Dusuki.
Manakala qari dan qariah pula ilalah Ustaz Husaini Mahmur, Ustaz Fahmi Asraf Razali, Ustazah Aisyah Baa’in dan Ustazah Nur Ruzana Natiah Jaafar.
Selain itu, Assalamualaikum An-Nisa’ juga antara program bual bicara pagi yang sudah ditayangkan. Bersiaran selama satu jam mulai pukul 9 pagi, ia berkonsepkan halaqah yang membicarakan isu-isu kehidupan wanita untuk memberi panduan dan pandangan peribadi kepada penonton.
Dikendalikan oleh Anmie Sofea, Ustazah Muzayyanah, Hana Ismail, Farrah Adeeba, Dewita Susila dan Farah Diana selain tetamu jemputan istimewa yang boleh dijadikan inspirasi kepada masyarakat.
Tambah Namanzee, tiga lagi program lain akan ditayangkan tidak lama lagi yang dijangka akan memberi perbezaan daripada program-program sedia ada sebelum ini.
“Kita ada Qawiy Was Here iaitu pempengaruh popular yang sebelum ini pernah tular di TikTok dengan cabaran menyambung surah-surah dan memberi ganjaran RM50 kepada orang awam yang berjaya menyudahkan bacaan surah mereka.
“Kita tampilkan Qawiy sebagai daya penarik generasi muda untuk mendekati al-Quran dengan cara lebih santai. Ia akan disiarkan di aplikasi AlHijrah Plus mulai 28 Januari ini.
“Begitu juga dengan Akademi Qurra’ yang bertujuan untuk melahirkan lebih ramai asatizah dalam bidang al-Quran. Program realiti ini akan bersiaran langsung selama 10 minggu dengan penyertaan 12 peserta bermula 28 Januari ini.
“Kembara Mahsyar menekankan mesej yang jelas dengan menelusuri perjalanan kerohanian manusia dengan 13 perhentian yang penuh pancaroba. Ia akan dihsokan oleh Ustaz Zul Ramli mulai 3 Februari depan,” ujarnya.