Fish and chips merupakan makanan yang popular di kalangan orang Inggeris di United Kingdom yang pada mulanya menjadi makanan bagi kelas bawahan sekitar abad ke-19. Isi ikan yang digoreng ini, mula diperkenalkan pada abad 16 lagi oleh pendatang berbangsa Yahudi dari Portugal dan Sepanyol.
Pada tahun 1860, restoran pertama yang menjual fish and chips dibuka di London oleh Joseph Malin dan hidangan ini menjadi popular. Hidangan ringkas ini akhirnya menular ke seluruh United Kingdom dan menjadi salah satu hidangan asasi sehingga ke hari ini.
Penggunaan ikan untuk fish and chips ini juga berbeza-beza. Di Britain dan Ireland, ikan yang digunakan ialah jenis kod dan haddock. Manakala di United Kingdom dan Australia, mereka menggunakan ikan jenis kod terumbu, kod batu dan siakap.
Di New Zealand pula, ikan merah menjadi pilihan dan di Amerika Syarikat ikan tilapia, kod dan halibut. Untuk adunan celupan ikan, ramuan aslinya ialah tepung gandum, air, soda bikarbonat dan sedikit cuka. Cuka digunakan bagi menghasilkan tepung yang ringan dan menghasilkan buih pada bancuhan tepung.
OLD ENGLISH FISH AND CHIPS
BAHAN
200 gm isi ikan dori
1 biji telur – ambil putih
1 sudu kecil cuka
10 gm tepung gandum
5 gm tepung beras
5 gm tepung jagung
2 gm serbuk penaik
2 gm marjerin
1 cawan air
Minyak masak untuk menggoreng
Garam
CARA PENYEDIAAN
1. Pukul telur putih dengan air sejuk sehingga berbuih.
2. Kemudian masukkan tepung gandum, tepung beras, tepung jagung dan serbuk penaik
sedikit demi sedikit, bancuh adunan sebati (jangan terlalu cair atau pekat).
3. Masukkan sedikit garam dan marjerin yang telah cair, kacau adunan sehingga sebati. Ketepikan.
4. Isi ikan dori digaulkan dengan sedikit garam dan salutkan dengan tepung gandum.
5. Kemudian celupkan ke dalam adunan tepung, lalu goreng sehingga masak. Angkat dan tuskan.
6. Hidangkan bersama kentang wedges, salad atau coslow serta sos tartar.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

