Keanehan kembar Pollock, dikaitkan sebagai ‘penjelmaan’ kakak mereka yang sudah meninggal dunia

Dari Penulis

John Pollock dan isterinya, Florence Pollock menetap di Hexham, England. Pasangan suami isteri ini hidup bahagia dengan sepasang anak perempuan mereka, Joanna, 11 tahun dan Jacqueline yang berusia 6 tahun.

Namun, kebahagiaan mereka diragut apabila kedua-dua anak mereka mati serentak dalam kemalangan pada 5 Mei 1957. Joanna dan Jacqueline bersama rakan mereka, Anthony,9, yang mahu melintas jalan telah dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang wanita dalam keadaan khayal kerana mengambil aspirin berlebihan.

Kedua beradik itu dan rakan mereka terbunuh. Pasangan suami isteri Pollock amat sedih dan sukar menerima kehilangan kedua-dua anak mereka sekaligus.

Berita yang memaparkan kemalangan tragik mengorbankan Joanna, Jacqueline dan rakan mereka.

Tidak lama selepas tragedi hitam itu, Florence hamil. Pada 4 Oktober 1958, dia melahirkan sepasang anak kembar perempuan yang diberi nama Gillian dan Jennifer.

Dalam masa yang sama, John juga sering berdoa agar anak-anaknya yang sudah mati kembali semula. Dia menganggap kehadiran kembarnya itu adalah ‘jelmaan’ semula kedua anaknya yang terbunuh. Malah, John pernah memberitahu isterinya bahawa dia mendapat visi bahawa anak mereka yang sudah mati akan ‘dilahirkan’ semula sebagai kembar.

Beberapa bulan selepas kembar Gillian dan Jennifer lahir, keluarga ini berpindah ke sebuah bandar kecil, Whitley Bay untuk memulakan hidup baru dan melupakan pengalaman pahit mereka di Hexham.

Si kembar yang kian membesar sudah mula petah berkata-kata. Ketika ini satu demi satu keanehan terlihat. Si kembar meminta mainan yang disimpan rapi dalam sebuah kotak. Ia sebenarnya permainan mendiang Joanna dan Jacqueline. Ia disimpan rapi oleh Florence sebagai kenang-kenangan, namun tidak pernah ditunjukkan pada anak kembarnya itu.

Agak pelik apabila si kembar mengatakan itu adalah mainan mereka. Bahkan, bila dibuka, kedua mereka tidak berebut sebaliknya tahu mana satu permainan mereka, yang mewakili kedua-dua mendiang kakak mereka. Kembar itu juga boleh tahu nama-nama mainan dan anak patung tersebut seperti yang dinamakan oleh mendiang kakak mereka, sedangkan itu kali pertama mereka melihatnya.

Semakin lama, kembar ini mula menyerupai karakter kedua-dua mendiang kakak mereka. Si kembar Jennifer contohnya, mempunyai tanda lahir pada mata kanan dan pinggangnya, juga pada dahi seperti mendiang kakaknya, Jacqueline.

Pernah suatu ketika, kembar itu sedang bergurau. Ketika itu Gillian menunjuk pada tanda di dahi Jennifer dan mengatakan dia adalah bekas perut akibat dahinya pernah terhantuk hingga luka dan meninggalkan kesan parut. Ia mengejutkan pasangan Pollock kerana apa yang dikatakan Gillian memang benar-benar berlaku pada mendiang Jacqueline.         

Bukan itu saja, kembar ini juga menyukai makanan seperti mendiang kakak mereka dan personaliti kedua-duanya juga banyak menyerupai kakak mereka yang sudah meninggal dunia.

Kembar ini menyerupai sifat mendiang kakak mereka.

Kembar ini juga akan bermain menyanyikan lagu yang sama dinyanyikan oleh mendiang kakak mereka. Apa yang menghairankan, kembar ini takut untuk melintas jalan raya dan juga trauma setiap kali kereta melintasi mereka. Keduanya akan menjerit apabila melihat kereta dan berkata kereta itu akan melanggar mereka. Seakan-akan trauma dengan kemalangan.

Pasangan Pollock pernah mendengar anak kembar mereka berbual sesama mereka mengenai keadaan semasa mereka dilanggar kereta. Bahkan, mereka pernah melihat kedua-dua kembar ini bermain di mana mereka berlakon menjadi mangsa kemalangan.

Bagaimana kembar ini begitu tahu tentang mendiang kakak mereka? Tambah membingungkan, ibu bapa mereka tidak pernah menceritakan tentang mendiang kakak-kakak mereka kepada kembar tersebut. Bagaimana kembar ini boleh tahu dan berkelakuan seolah-olah mereka adalah Joanna dan Jacqueline?

***

SUATU hari, pasangan Pollock membawa kembar mereka ke Hexham, tempat asal di mana mereka pernah tinggal dahulu dan pernah meragut nyawa anak mereka.

Anehnya, anak kembar mereka boleh kenal jalan-jalan di sekitar situ, rumah asal mereka, bahkan tahu nama sekolah mendiang kakak mereka. Kembar itu mampu mengingati banyak perincian di kawasan tersebut sedangkan mereka belum pernah sampai ke situ dan tidak pernah diberitahu tentang tempat-tempat tersebut. Malah, mereka boleh mengenal pasti beberapa orang rakan mendiang kakak mereka tanpa diberitahu.

Kisah ‘penjelmaan semula’ mendiang kakak mereka yang sudah mati ke dalam tubuh kembar ini mendapat liputan meluas dan turut disiarkan dalam akhbar.

Keanehan kembar ini yang disifatkan sebagai ‘penjelmaan semula’ menarik minat ramai pengkaji.

Seorang pakar psikologi, Dr. Ian Stevenson tertarik untuk mengkaji kes kembar ini. Stevenson sering melawat kembar ini dan membuat kajian terhadap fenomena yang melanda kembar tersebut.

Salah satu keanehan yang diperhatikan oleh Stevenson ialah, kedua kembar ini adalah kembar seiras yang terhasil dari satu telur. Namun, kedua-duanya memiliki perwatakan berbeza dan lebih menyerupai kedua-dua mendiang kakak mereka yang dilahirkan berasingan dan bukan kembar.

Namun, ingatan dan perwatakan kembar ini terhadap mendiang kakak mereka mulai pudar apabila usia mereka melepasi lima tahun. Sedikit demi sedikit karakter mendiang kakak mereka juga mula menghilang. Kembar ini mula membesar dengan personaliti mereka sendiri.

Stevenson masih terus berhubung dengan keluarga ini sehinggalah kematian Florence pada tahun 1979 dan John pada 1985. Kembar ini membesar seperti biasa, tidak lagi mengingati sebarang ‘kehidupan’ masa lampau kakak mereka.

Steveson yang mengkaji kes kembar Pollock dan kes-kes lain dalam situasi yang sama berkaitan ‘penjelmaan semula’ turut menulis buku Children Who Remember Previous Lives : A Questions of Reincarnation.

Sehingga kini, kes kembar Pollock ini menjadi antara kes popular dikaji oleh pakar tentang isu ‘reincarnation’ atau penjelmaan semula orang yang sudah mati di dalam jasad lain.   

Buku tulisan Steveson.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pontianak rambut panjang… Misteri Highland Towers tidak pernah  berakhir

Malam itu masih segar dalam ingatan segelintir penduduk sekitar Highland Towers. Walaupun lebih tiga dekad telah berlalu, kenangan terhadap...

More Articles Like This