“BERANI atau dipergunakan?.”
Demikian kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi menyindir pujian yang diberikan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kepada dua ahli parti tersebut.
Ia susulan tindakan dua ahli UMNO yang membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung usul tambahan yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Puad dalam hantaran di Facebook berkata, sepatutnya orang atasan yang membuat aduan sedemikian.
Malah, beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara sinis menegur supaya tidak menggunakan orang bawahan untuk membuat aduan sedemikian.
“KJ (Khairy) puji dua ahli UMNO yang buat aduan ke RoS sebagai berani dan waras.
“Ia berkaitan usul tiada pertandingan jawatan nombor satu dan dua.
“Sepatutnya orang ataslah yang buat aduan. Itu baru berani namanya. Jangan guna orang bawah apatah lagi kalau bekas pegawai sendiri. Itu waras ke?,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel berkaitan: Tahniah, ada yang masih berani dan waras dalam UMNO – KJ
Terdahulu, Khairy dalam Instagram Story memuji tindakan dua ahli UMNO itu yang disifatkan berani dan masih waras untuk membuat aduan kepada RoS.
Pada masa sama, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan yakin dengan kredibiliti RoS untuk membuat keputusan berhubung isu berkenaan.
Semalam, dua ahli UMNO menghantar aduan kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Aduan itu dikemukakan oleh ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap RoS dapat menentukan sekiranya terdapat pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022, Sabtu lalu.
Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.
Sabtu lalu, majoriti perwakilan yang hadir pada perhimpunan itu menyatakan sokongan terhadap usul tambahan dicadangkan wakil UMNO Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

