“SATU ORANG, DERMA RM1.00”. Tidak perlu banyak, cukuplah setiap individu di Malaysia menyumbangkan RM1.00 demi membantu Akademi Permata Impian (APIM) mencari dana bagi menampung kos operasi dan meningkatkan taraf fasiliti.

Itu kata-kata Penjelajah Solo Negara, Khairil Aslan Ab Rasid ketika majlis pelepasan Misi Kayuhan Solo Fatbike mengelilingi Semenanjung Malaysia 2023 bagi menyantuni anak istimewa.

“Dalam misi kayuhan sejauh 2200 kilometer ini, saya akan menyantuni lebih 15 buah pusat Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) antaranya PDK Sungai Pinang dan PDK Batu Pahat untuk melihat sendiri fasiliti dan aktiviti yang dilakukan, kemudiannya membawa pulang idea terbaik ke APIM untuk diperhalusi dan dilaksanakan.

“Misi kayuhan solo ini untuk kenalkan APIM di mata masyarakat. Bayangkan rakyat Malaysia mempunyai 30 juta penduduk dan jika seorang menyumbangkan RM1.00, APIM mampu menyediakan fasiliti terbaik untuk warga pelajar dan pendidik di sini,” katanya ketika ditemui.

Tiga tahun beroperasi tanpa bantuan mana-mana pihak, jelas Pengerusi APIM, Sharidan Kassim, mereka memerlukan RM400,000 setahun bagi menampung kos operasi.

“APIM memerlukan RM400,000 untuk kos operasi setahun dan buat masa ini kami menggunakan dana sendiri hasil sumbangan ibu bapa dan Parlimen Hulu Langat. Usaha untuk mengumpulkan dana ini bukan mudah kerana mentaliti masyarakat Malaysia masih belum terbuka untuk anak-anak istimewa.

“Tidak banyak yang boleh kami tawarkan dengan fasiliti yang terhad namun APIM ada komuniti di mana ibu bapa boleh mendidik anak-anak secara berkelompok kerana kami tahu tidak mudah melakukannya seorang diri di rumah. Malah terdapat beberapa penyelidik dari beberapa universiti tempatan untuk melihat keperluan kami di sini.

“Buat masa ini kami adakan aktiviti berkebun dan membuat kek supaya anak-anak di sini dapat belajar asas menguruskan diri dan dapat menjadi sumber pendapatan,” jelasnya.

Majlis dirasmikan Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Mohd, Sany Hamzan.

Terdahulu majlis turut dirasmikan Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Mohd, Sany Hamzan yang menyifatkan usaha yang dilakukan APIM bersama Khairil Aslan seharusnya membuka mata masyarakat bagi menyokong keperluan anak-anak istimewa.

“Apa yang dilakukan APIM dan Khairil Aslan bagi menampung dana kewangan beroperasi seharusnya mendapat sokongan daripada masyakat. Selain perbelanjaan operasi semakin meningkat dan orang ramai boleh menyumbangkan tenaga sukarelawan bagi merancakkan aktiviti pusat jagaan anak-anak istimewa di negara ini.

“Anak-anak istimewa ini perlu diberi peluang pendidikan dengan memperbanyak pusat pendidikan dan pusat kemahiran. Apabila mereka ada ilmu, anak-anak istimewa ini boleh berdikari dan menjadi OKU bekerjaya,” katanya kepada UtusanTV.

Misi kayuhan solo ini akan bermula di Semenyih dan seterusnya ke Seremban, Melaka, Batu Pahat, Kuala Rompin, Kemaman dan berakhir di Masjid Bandar Rinching.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan dengan menghubungi talian 012-6348962 (Sharidan Kassim) dan sumbangan dalam bentuk kewangan boleh disalurkan menerusi pindahan wang ke akaun Bank Islam menerusi nombor akaun : 12-195-01-002290-1 atas nama PERTUBUHAN AKADEMI PERMATA IMPIAN SEMENYIH SELANGOR.