Antara kawasan yang dinaiki air banjir. GAMBAR: Otai Johor

MANGSA banjir di Johor Bahru meningkat kepada 3,612 daripada 1,014 keluarga yang ditempatkan di 35 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah, setakat jam 8 pagi ini.

Ia sekaligus menunjukkan peningkatan ketara berbanding hanya seramai 2,912 mangsa daripada 833 keluarga yang ditempatkan di 30 PPS di empat daerah, setakat tengah malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, Segamat terus menjadi daerah terjejas apabila mangsa banjirnya melonjak kepada 1,392 penduduk daripada 393 keluarga di 13 PPS, pagi ini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, ia berbanding hanya seramai 1,229 penduduk daripada 345 keluarga di lapan PPS, malam tadi.

“Hujan yang masih tidak berhenti sejak kelmarin menyebabkan PPS di negeri ini melonjak kepada 35. Amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di Johor hari ini juga dibimbangi akan menyebabkan lebih banyak kawasan rendah terjejas dinaiki air.

“Hujan lebat berterusan menyebabkan Mersing dan Batu Pahat kini menjadi daerah keempat dan kelima turut terjejas banjir dengan masing-masing membuka empat dan satu PPS sejak malam tadi.

Baca lagi: Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 1,703 orang, 3 PPS lagi dibuka

Mangsa banjir mengikut pecahan mangsa teramai adalah Segamat (1,392 mangsa), Kluang (1,139), Kota Tinggi (557), Mersing (403) dan Batu Pahat (121),” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Azmi berkata, mengikut ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sembilan daripada 10 daerah di Johor akan terus mengalami hujan lebat membabitkan Segamat, Kluang, Mersing, Batu Pahat, Muar, Pontian, Kota Tinggi, Tangkak dan Kulai.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa dan mematuhi arahan berpindah jika ia dikeluarkan.

Dalam pada itu, Azmi berkata terdapat empat laluan utama yang ditutup kepada semua jenis kenderaan, berikutan dinaiki air bah selain berlaku tanah runtuh akibat hujan berterusan.

“Berlaku tanah runtuh di kawasan Kulai membabitkan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau (J08) berikutan tebing bercerun laluan itu runtuh, menyebabkan ia terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan.

“Selain itu dua laluan utama ke Segamat juga terus ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air bah membabitkan Jalan Senai-Gemas (FT001) yang ditenggelami banjir sedalam 0.7 meter manakala Jalan Jabi-Bukit Tempurung (J516) pula dinaiki air sedalam 0.6 meter.

“Laluan Jalan Ladang Siang (J 223) di Kota Tinggi juga masih ditutup berikutan dinaiki air bah sedalam 0.75 meter,” katanya.

Azmi berkata, tiga sungai masing-masing dua di Segamat dan satu di Kluang juga berada pada paras bahaya pagi ini.

“Di Segamat ia membabitkan lembangan Sungai Gemas yang berada pada paras bahaya dengan 19.13 meter selain Sungai Segamat pula merekodkan paras bahaya 37.55 meter.

“Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang turut mencatat paras bahaya dengan 15.70 meter pagi ini,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram