GRADUAN institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus menjadi rebutan industri apabila mencatat kadar kebolehpasaran mencecah 95.5 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan ekosistem TVET negara dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri semasa.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 85.1 peratus graduan bekerja dalam bidang berkaitan latihan yang diikuti, manakala kadar kepuasan majikan terhadap kualiti graduan mencapai 97.2 peratus.
“TVET bukan sekadar sistem latihan kemahiran, tetapi asas kepada ketahanan ekonomi, kekuatan industri dan masa depan daya saing negara.
“Dalam dunia yang dipacu kecerdasan buatan (AI), automasi dan digitalisasi, TVET menjadi antara agenda strategik negara dalam membangunkan modal insan berkualiti,” katanya sempena Sambutan Hari TVET Negara 2026, hari ini.
Ramanan berkata, TVET KESUMA akan terus memperkukuh pembangunan bakat negara menerusi latihan berpacukan industri dengan sokongan Industry Lead Body (ILB) dan Future Skills Talent Council (FSTC).
Katanya, usaha itu memastikan program latihan sentiasa selari dengan kehendak pasaran pekerjaan dan perkembangan teknologi global.
Beliau berkata, bagi ambilan UP_TVET Perdana Julai 2026, lebih 20,000 tempat pengajian ditawarkan membabitkan 315 institusi TVET di seluruh negara.
“Ini membuka peluang yang lebih luas kepada generasi muda untuk mendapatkan latihan kemahiran berkualiti dan berdaya saing.
“Kerajaan mahu memastikan lebih ramai belia memilih laluan TVET sebagai pilihan kerjaya masa depan,” katanya.
Ramanan berkata, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) terus memainkan peranan penting menerusi rangkaian 33 kampus ADTEC termasuk Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI), Proton Institute serta kampus satelit di Senai dan Anjung Muadzam.
Menurutnya, penawaran latihan kini merangkumi 11 kluster utama termasuk pembuatan, elektronik, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), automasi, pengangkutan serta tenaga elektrik.
Pada masa sama, bidang teknologi baharu seperti semikonduktor, robotik, keselamatan siber, aeroangkasa, tenaga boleh baharu dan teknologi hidrogen turut diberi tumpuan.
Beliau berkata, kerjasama strategik dengan syarikat utama seperti Proton Holdings, Petronas, Malaysia Aviation Group, Infineon Technologies, Huawei Technologies dan Micron Memory Malaysia membantu memperkukuh kualiti latihan menerusi pemindahan teknologi dan peluang kerjaya kepada graduan.
Selain itu, Akademi Semikonduktor KESUMA (ASK) yang ditubuhkan di JMTI, Pulau Pinang akan memperluaskan latihan dalam bidang semikonduktor dan teknologi masa depan.
Ramanan berkata, kerajaan turut memperkukuh sistem TVET menerusi Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM), Malaysia TVET Rating (MTR) serta Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM).
Katanya, inisiatif itu bertujuan memperluas akses latihan, termasuk program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) untuk tenaga kerja negara.
Beliau berkata, pendekatan TVET Inklusif MADANI memastikan peluang latihan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat termasuk golongan B40, orang kurang upaya (OKU), Orang Asli, wanita, belia tercicir dan komuniti luar bandar.
“Kerajaan percaya pembangunan ekosistem TVET yang mampan dan inklusif merupakan pelaburan strategik negara.
“Ia penting untuk melahirkan tenaga kerja masa depan yang berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya saing,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

