Ya..! hanya dalam masa 5 minit sahaja, anda sudah boleh menghasilkan menu kerabu yang sangat enak dan cukup lazat. Tapi dengan syarat, setiap bahan yang digunakan mestilah segar. Barulah kerabu cukup sedap. Mudah, bukan…? Anda harus mencubanya…

KERABU IKAN

KERABU IKAN
BAHAN

3 ekor ikan kembung
4 ulas bawang merah – hiris
2 tangkai cili merah – hiris
50 gm udang kering – tumbuk
40 gm belacan – tumbuk
4 sudu besar jus limau nipis
Sedikit kerisik
Sedikit garam

CARA PENYEDIAAN

  1. Ikan kembung dipanggang, kemudian ambil isinya. Ketepikan.
  2. Di dalam mangkuk, satukan bawang merah, cili merah, udang kering dan belacan.
  3. Masukkan isi ikan dan kerisik, gaul sebati.
  4. Masukkan perahan jus limau nipis dan garam, sebatikan rasa.
KERABU BETIK SUHUN

KERABU BETIK SUHUN
BAHAN

100 gm suhun – rendam hingga lembut
2 biji limau nipis
2 cm belacan
Garam dan gula
BAHAN HIRIS HALUS
½ biji betik muda
2 ulas bawang merah
2 tangkai cili merah
2 tangkai cili hijau
5 tangkai cili padi
100 gm daun ketumbar

CARA PENYEDIAAN

  1. Satukan ke semua bahan hiris halus ke dalam bekas.
  2. Masukkan belacan, garam, gula danm jus perahan limau nipis. Gaul rata dan sebatikan rasa.
  3. Hidangan bersama suhun mengikut kreativiti anda.
KERABU MANGGA MUDA

KERABU MANGGA MUDA
BAHAN A

400 gm mangga muda – hiris halus
2 ulas bawang merah – hiris halus
1 ulas bawang putih – cincang halus
3 tangkai cili padi – tumbuk
2 sudu kecil udang kering – tumbuk
3 helai daun limau purut – hiris halus
1 sudu kecil halia – hiris halus
1 batang serai – hiris halus
BAHAN B
1 sudu besar sos ikan
2 sudu besar kacang tumbuk
1 sudu besar air limau nipis
2 tangkai daun ketumbar – hiris halus
1 tangkai cili merah – hiris halus
Sedikit garam
Sedikit gula

CARA PENYEDIAAN

  1. Satukan ke semua bahan A di dalam mangkuk.
  2. Masukkan sos ikan, kacang tumbuk, jus perahan limau nipis, garam dan gula. Gaul rata dan sebatikan rasa.
  3. Taburkan daun ketumbar dan cili merah.
KERABU DAGING BAKAR

KERABU DAGING BAKAR
BAHAN

300 gm daging
½ biji timun – potong dadu
2 biji tomato – potong dadu
50 gm kelapa parut putih
2 sudu besar jus limau nipis
5 cm belacan – bakar
2 sudu besar kerisik
5 tangkai cili padi – hiris
2 tangkai cili merah – hiris
3 tangkai ulam raja – hiris
Sedikit serbuk kunyit

CARA PENYEDIAAN

  1. Daging dipotong kiub besar dan dibersihkan. Lumurkan daging dengan garam dan serbuk kunyit.
  2. Bakar daging di dalam ketuhar atau salai sehingga daging masak. Apabila daging sudah masak, hiris nipis. Ketepikan.
  3. Larutkan atau hancurkan belacan bersama jus limau nipis dan satukan dengan hirisan timun, hirisan tomato, kelapa parut, kerisik, cili padi, cili merah dan ulam raja. Gaulkan ke semua bahan hingga sebati.
  4. Kemudian masukkan hirisan daging dan bubuhkan garam secukup rasa. Gaulkan sekali lagi sehingga mesra. Sedia untuk hidangan.
KERABU CENDAWAN TIRAM

KERABU CENDAWAN TIRAM
BAHAN

750 gm tiram – carik dan goreng
40 gm bawang merah – mayang halus
30 gm serai – mayang halus
30 gm bunga kantan – mayang halus
2 tangkai cili hijau – mayang halus
2 tangkai cili merah – mayang halus
20 biji tomato ceri – buang biji dan hiris
20 gm daun ketumbar – hiris
10 biji limau kasturi – ambil jus
3 tangkai cili padi – mayang halus
1 sudu besar sambal belacan
1 sudu besar gula
30 ml sos ikan
Sedikit tepung gandum
½ sudu kecil garam

CARA PENYEDIAAN

  1. Satukan cendawan tiram, tepung gandum dan garam. Gaul sebati sehingga cendawan tidak melekat.
  2. Panaskan minyak, goreng cendawan sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
  3. Satukan ke semua bahan hiris halus ke dalam mangkuk.
  4. Masukkan hirisan tomato ceri, daun ketumbar, sambal belacan, sos ikan dan cendwan tiram.
  5. Taburkan garam, gula dan jus limau kasturi, gaul rata dan sebatikan rasa.
KERABU AYAM

KERABU AYAM
BAHAN

300 gm isi ayam
1 labu bawang besar – hiris
3 biji tomato -hiris
10 tangkai cili padi – hiris
5 helai daun limau purut – hiris
½ biji timun – buang empulur dan potong panjang
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar jus limau nipis
Garam
Gula

CARA PENYEDIAAN

  1. Rebus isi ayam sehingga masak. Angkat dan tuskan.
  2. Carikkan isi ayam dan gaul rata bersama bawang besar, cili padi daun limau purut dan timun.
  3. Kemudian masukkan jus limau nipis, sos cili, garam dan gula. Gaul sebati dan sebatikan rasa.