MARZUKI
MARZUKI MOHAMAD

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menyiasat daripada mana PKR dan DAP mendapat sumber dana untuk membiayai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perkara itu kerana tegas bekas setiausaha sulit kanan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, kedua-dua parti itu didakwa telah berbelanja besar sewaktu PRU-15.

Marzuki mendakwa, berdasarkan pengamatan kasarnya, jumlah pembiayaan kempen pilihan raya PKR dan DAP mencecah ratusan juta ringgit.

“Lihat sahaja jumlah bendera, poster, pentas ceramah, lori bergerak, sistem audio, papan iklan besar dan kecil, kempen di media sosial dan lain-lain.

“Ini tidak termasuk bayaran sewa jet dan helikopter untuk kegunaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri ketika berkempen. Juga kos-kos lain yang melibatkan kerja-kerja jentera parti.

“Dari mana sumber ini diperolehi?,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Baca artikel berkaitan: PAS sedia kerjasama dengan SPRM isu beri wang kepada pengundi

Mengulas lanjut, Marzuki berkata, tidak adil sekiranya hanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sahaja disiasat kerana dituduh berbelanja besar.

Jelas beliau, PKR dan DAP juga telah berbelanja besar.

Malah, beliau juga meminta SPRM untuk menyiasat dana pilihan raya Barisan Nasional (BN).

“Saya sebutkan begini kerana SPRM telah memulakan siasatan terhadap Bersatu dan sedang mengenal pasti sumber dana pilihan raya Bersatu.

“Oh ya, elok siasat juga dana pilihan raya BN. Ingat, Menteri-menteri BN juga ada dalam kerajaan PN dan Perdana Menteri selepas PN juga dari BN. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Barulah adil.

“Saya percaya Perdana Menteri seorang yang adil dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip keadilan. Jadi biarlah adil dalam bertindak,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram