Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan untuk tidak membenarkan pasport, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dikembalikan secara kekal bagi membolehkan beliau menjalankan tugasan rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Hakim Datuk Collin Sequerah bagaimanapun membenarkan pasport itu untuk diserahkan buat sementara bagi urusan Ahmad Zahid membuat pasport diplomatik.

Hakim Sequerah turut mengarahkan Ahmad Zahid yang sedang berdepan dengan 47 pertuduhan untuk menyerahkan kembali pasport beliau kepada mahkamah selepas urusan membuat pasport diplomatik selesai.

Katanya, keputusan untuk tidak membenarkan pasport peribadi Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu dikembalikan adalah kerana kedudukan semua orang atau tertuduh adalah sama rata mengikut undang-undang.

“Tiada perbezaan antara seorang tertuduh dengan yang lain. Justeru, permohonan Zahid agar pasport peribadinya dilepaskan secara kekal ditolak,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Zahid Hamidi mohon pasport dikembalikan secara kekal untuk jalankan tugas rasmi

“Bagaimanapun mahkamah membenarkan pasport tertuduh dipulangkan sementara waktu bagi beliau membuat pasport diplomatik bagi tugasan rasmi ketika ini,” katanya ringkas pagi ini.

Sebagai rekod, pasport itu telah diserahkan mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa dengan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini dalam peringkat bela diri.

Menerusi afidavit sokongan permohonan itu, Ahmad Zahid berkata, permohonan tersebut adalah bersifat bona fide (berniat baik) dan hanya bertujuan untuk memohon kebenaran bagi pelepasan pasport agar beliau dapat menjalankan tugas rasmi dengan lancar.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau mempunyai beberapa kekangan untuk menjalankan tugas seperti menteri lain kerana tidak mempunyai akses kepada pasport tersebut.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram