Sedikit kelegaan buat pertubuhan ekonomi global. Pertumbuhan ekonomi 2023 dijangka tidak seburuk yang diunjurkan sebelum ini. Ekonomi dunia 2023 dijangka tumbuh pada kadar 2.9%, meningkat dari unjuran sebelumnya, 2.7%.

Dijangka tahun 2023 akan menyaksikan tahap terendah (bottom out), dengan 2024 bakal menyaksikan pertumbuhan meningkat pada kadar 3.1%, namun masih rendah dari purata pertumbuhan tahunan 2000-19 iaitu 3.8%.

Pelonggaran pergerakan China, kadar inflasi yang lebih terkawal, pasaran buruh Amerika yang masih kukuh, dan kesan kekangan sumber tenaga Eropah yang tidak seteruk yang dijangka, menyumbang kepada unjuran baharu yang lebih baik.

Bagaimana dengan Malaysia? Mungkin sekitar 4-5% untuk 2023. Sudahkan kita mempunyai strategi yang jelas untuk meraih peluang dari pertumbuhan global yang dijangka lebih baik? Sudahkah kita mempunyai tindakan yang khusus menangani masalah domestik, khususnya cabaran-cabaran struktural yang sekian lama mengekang kita dari melonjak pantas?

Tekanan kos sara hidup hanya boleh diredakan dengan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan memanfaatkan semua. Memberi peluang yang terbaik kepada semua untuk terlibat sama, meraih manfaat pertumbuhan secara hakiki. Tindakan-tindakan ‘kecil’ sekarang hanyalah tempelan sementara, mungkin beri keredaan sementara, bukan penyelesaian.

Mampukah Malaysia meyakinkan pelabur dalam negara (DDI) dan antarabangsa (FDI) untuk menjadikan Malaysia sebagai ‘lokasi pelaburan terpilih’ mereka? Adakah Malaysia mempunyai ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi destinasi terpilih? Apa kekuatan kita? Apa keutamaan kita? Apa kesediaan kita?

Malaysia jangan berlengah. Kita MESTI secara bersama komited menjayakan ekonomi kita.

Kerajaan, industri, rakyat dan semua pihak mesti sepakat untuk menjayakan misi ini. Kerajaan telah ditubuhkan. Cukuplah kita membuang masa dengan pertelagahan yang hanya merugikan semua. Hampir 5 tahun kita membazir masa. Negara-negara saingan kita berlari pantas. Kita tidak boleh ketinggalan. Semakin lewat kita bertindak, semakin jauh kita ketinggalan. Jangan nanti kita menyesal kemudian.

Kita ingin melihat Malaysia kembali sebagai sebuah negara yang hebat, berdaya saing dan berdaya tahan. Kejayaan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, semua wilayah, semua kelas pendapatan.

Saya mengajak semua. Kita boleh jelmakan semula Malaysia yang hebat. Saya merindui Malaysia yang rakyatnya hidup selesa, saling menghormati, harmoni dan negaranya dihormati dunia. Ayuh Malaysia.
MINDA-UKM: Akan menggembleng tenaga untuk Malaysia

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram