SELALU kita lihat di penggambaran membabitkan kapal di tengah lautan, akan muncul sekumpulan ikan lumba-lumba yang akan bersama ‘berlayar’ bersama kapal tersebut. Mengapa ikan itu mengikut kapal?
Secara ilmiahnya, ikan lumba-lumba merupakan sejenis haiwan yang mempunyai sifat unik. Kemampuan yang dimiliki oleh ikan lumba-lumba ini mampu membimbing kapal di tengah laut daripada menghadapi sebarang bencana alam terutamanya gempa di dasar laut.
Ikan lumba-lumba juga mempunyai gerak hati yang cukup kuat. Mereka boleh mengenal pasti manusia yang tersesat dan terumbang ambing di laut terutamanya kapal-kapal kecil. Ikan-ikan ini akan membimbing kapal-kapal tersebut menuju ke perairan. Ikan lumba-lumba akan menggunakan suaranya sebagai pancaindera bagi menentukan arah ke mana ia harus berenang untuk mencari kawasan perairan. Teknik yang sama juga digunakan bagi mencari ikan-ikan kecil untuk dijadikan makanan.

Kelebihan semula jadi yang dimiliki oleh haiwan ini telah banyak dimanfaatkan oleh pelbagai pihak terutamanya tentera laut. Pihak tentera telah menggunakan ikan lumba-lumba dalam perancangan peperangan mereka. Ikan lumba-lumba yang dilatih oleh pasukan tentera laut ini akan menjalani latihan khas bagi tujuan ketenteraan termasuk menyerang pihak musuh dan memusnahkan periuk api di laut.
Dahulu, di Sevastopol, Ukraine, tentera laut mereka turut melatih beberapa ekor ikan lumba-lumba di sebuah akuarium laut khas yang dibina untuk tujuan tersebut. Salah satu tujuannya haiwan-haiwan ini dilatih ialah untuk mengesan objek yang berada di dasar laut. Ikan lumba-lumba boleh mencapai kelajuan 60 kilometer per jam.
Melatih ikan lumba-lumba untuk mengesan periuk api di laut bukanlah satu perkara baru kerana sebelum ini, pihak tentera laut Amerika Syarikat (AS) juga pernah menggunakan kaedah yang sama.
Pada era Soviet Union, ikan lumba-lumba telah dilatih untuk memasang periuk api yang dijatuhkan ke laut pada kapal-kapal musuh. Kebolehan ini membolehkan sasaran dimusnahkan dengan mudah tanpa perlu khidmat penyelam untuk melakukannya.
Oleh sebab mereka tergolong dalam kategori haiwan yang cukup mudah untuk dilatih, hampir 40 jenis ikan lumba-lumba telah dijadikan haiwan tentera. Lima daripadanya merupakan ikan lumba-lumba air tawar.

Walau bagaimanapun, tindakan tentera AS menggunakan ikan lumba-lumba terlatih untuk membantu kerja mengesan periuk api di laut selatan Iraq mendapat tentangan hebat daripada kumpulan pencinta haiwan dan ahli-ahli biologi. Mereka menyifatkan perbuatan tersebut tidak beretika dan bertanggungjawab.
Mengikut kajian yang dilakukan oleh Profesor Dr. Michael Zasloff, ikan lumba-lumba mempunyai satu kelebihan di mana ia mampu menyembuhkan dirinya sendiri apabila ia tercedera. Kelebihan itu menyebabkan ikan ini sesuai dipilih sebagai askar laut.
Ujar Zasloff, kebiasaannya kecederaan serius yang dialami oleh ikan lumba-lumba kemungkinan disebabkan oleh gigitan ikan jerung. Luka pada badan lumba-lumba mampu sembuh dalam tempoh seminggu tanpa mengganggu aktiviti haiwan ini. Walau bagaimanapun, bahagian telinga ikan ini adalah yang paling penting. Jika ia mengalami kecederaan dan gegendang telinga rosak, mereka akan kehilangan arah.
Penelitian menunjukkan ikan lumba-lumba tidak mampu bertahan lama jika ditempatkan di kawasan baru. Kajian menunjukkan bahawa ikan lumba-lumba adalah antara haiwan yang tidak mungkin dapat menyesuaikan diri dalam ‘kurungan’ walau selama mana pun mereka dilatih. Naluri semula jadi mereka adalah di lautan, melompat dan bebas bergerak.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare