SUKU Dogon menetap di wilayah dataran tinggi Mali, di selatan Sungai Niger, Afrika. Setahun sekali, suku ini akan menyambut ketibaan ‘Antogo’ iaitu sebuah pesta untuk mereka menangkap ikan.
Pesta Antogo merupakan upacara menangkap ikan yang disambut hanya sekali setahun iaitu setiap bulan Mei. Pada hari yang ditetapkan, suku Dogon diizinkan untuk menangkap ikan di sebuah tasik kecil yang terletak di Kampung Bamba di Mali. Pada hari-hari lain, penduduk setempat dilarang menangkap ikan di situ kerana tasik tersebut diwartakan sebagai kawasan suci.
Peraturan itu dibuat berdasarkan kepercayaan suku Dogon yang meyakini bahawa danau itu merupakan tempat suci kerana menyimpan banyak ikan untuk keperluan makanan. Selain tasik, hutan juga dianggap suci dan dihuni oleh roh-roh yang baik.
Dikatakan pada masa dahulu, keseluruhan kawasan Bamba diliputi hutan hujan, belukar, tasik dan sungai. Akibat perubahan iklim dan peredaran waktu secara besar-besaran, rantau ini secara perlahan-lahan berubah menjadi gurun, kering, gersang, berbatu-batu dan tidak subur.
Yang tinggal cuma tasik kecil Bamba. Danau itu menjadi sumber makanan dan air yang paling berharga bagi masyarakat Dogon. Pun begitu, suku Dogon hanya akan mengambil ikan-ikan dari tasik tersebut sekali setahun ketika berlangsungnya perayaan ritual Antogo.

Biasanya sehari sebelum Antogo dimulakan, tiga batang kayu besar akan diletakkan di tengah-tengah tasik sebagai isyarat bahawa upacara semakin dekat. Saat ritual hendak dimulakan, ratusan suku Dogon berkerumun di sekitar danau. Mereka mengelilingi sekitar tasik sambil membawa peralatan tradisional untuk menangkap ikan seperti bubu.
Sejurus selepas loceng dibunyikan atau tembakan dilepaskan, mereka berebut-rebut melompat ke dalam tasik. Ritual ini hanya berlangsung sekitar 15 minit. Dengan masa yang singkat itu, mereka cuba menangkap ikan seberapa banyak dan sepantas mungkin. Ikan-ikan yang berjaya ditangkap kemudian diletakkan ke dalam beg kulit.


Keterujaan mereka menangkap ikan diiringi dengan tarian gembira. Sambil menangkap ikan, mereka bergurau senda dengan berbalas-balas melumurkan lumpur atau selut ke muka dan badan peserta-peserta lain.
Keasyikan itu serta-merta akan terhenti apabila bunyi tembakan sekali lagi kedengaran bagi menandakan berakhirnya upacara Antogo. Ketika itu, tiada seorang pun di antara mereka dibolehkan menangkap ikan lagi.
Hasil tangkapan kemudian dikumpulkan dan diserah kepada tetua desa. Tetua desa ini merupakan orang yang bertanggungjawab untuk membahagi-bahagikan hasil tangkapan tersebut ke desa-desa.
Namun, hanya kaum lelaki dibolehkan mengikuti upacara ini. Manakala golongan wanita pula tidak sesekali dibenarkan menyertainya. Bahkan mendekati tasik tersebut juga dilarang sama sekali.
Larangan ini selaras dengan budaya Dogon yang menegah golongan wanita daripada mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti berunsur ritual. Alasannya kerana wanita dianggap tidak suci lantaran mempunyai kitaran haid.



______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare