“APA salahnya KJ (Khairy Jamaluddin) tubuh parti baharu. Kita tengok apakah anak muda akan berduyun masuk ikut magnet KJ.”
Itu kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang secara terbuka mencabar bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin supaya menubuhkan parti baharu.
Ia susulan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyifatkan pemecatan Khairy dan penggantungan Shahril Hamdan seperti menghapuskan ‘magnet’ yang menarik sokongan orang muda.
Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor turut mempertikaikan kepimpinan bekas Ahli Parlimen Rembau itu semasa beliau memimpin Pergerakan Pemuda UMNO dahulu.
“Ismail Sabri kata, KJ ada magnet. UMNO rugi kerana buang magnet untuk tarik orang muda.
“Masa KJ jadi Ketua Pemuda, ramaikah anak muda ditarik oleh magnet KJ untuk sokong UMNO?
“Mungkin anak muda sokong KJ tetapi bukan pada UMNO. KJ tidak merayu pemecatannya,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Baca artikel berkaitan: Sultan Johor berkenan terima menghadap Ismail Sabri
Mengulas lanjut, Mohd Puad secara sinis turut ‘mencadangkan’ kepada Khairy supaya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau pun Pas untuk membuktikan bahawa kenyataan Ismail Sabri itu benar.
Pada masa sama, beliau turut ‘menasihatkan’ Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan supaya tidak pula menjadi penumpang kepada parti tersebut.
“Kalau KJ kurang berani macam Syed Saddiq yang tubuh parti baharu, KJ boleh join Bersatu atau Pas. KJ boleh buktikan magnet dia OK. Jangan pula jadi penumpang kepada parti itu.
“Ismail Sabri silap. Patut dia cadang pada MKT supaya KJ ganti dia sebagai poster boy di PRU-15 lalu. Alasannya dia tidak ada magnet. KJ ada magnet. Ruginya UMNO kalau betul,” katanya sinis dalam hantaran tersebut.
Semalam, Ismail Sabri dalam wawancara bersama Sinar Harian menyifatkan pemecatan Khairy dan penggantungan Shahril ibarat menghapuskan magnet yang menarik sokongan orang muda.
Menurutnya, Shahril yang mahu ditonjolkan sebagai Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan akan datang berani bersuara seperti Khairy dan beliau mungkin disukai orang muda.
Pada 28 Januari lalu, UMNO memecat Khairy kerana melanggar disiplin parti mengikut perlembagaan UMNO akibat kesalahan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Turut dipecat bekas ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Shahril pula digantung keahliannya selama enam tahun bersama bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein, bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

