PERSATUAN Golf Malaysia (MGA) terpaksa mengurangkan sasaran pingat emas untuk sukan golf dalam Sukan SEA Kemboja Mei ini kerana ramai pemain kebangsaan yang menuntut di Amerika Syarikat tidak dapat pelepasan daripada kolej mereka untuk menyertai kejohanan tersebut.
Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, walaupun Malaysia berjaya merangkul dua emas dalam Sukan SEA Hanoi sebelum ini tetapi tahun ini tidak dapat bergantung kepada pemain-pemain tersebut disebabkan masalah pelepasan tersebut, selain ada pemain telah bertukar status pemain profesional.
Ervin Chan yang meraih pingat emas menerusi acara golf individu dan berpasukan misalnya sudah menjadi pemain berstatus profesional dan tidak layak menyertai Sukan SEA tahun ini kerana peraturan di dalam kejohanan itu hanya membenarkan penyertaan atlet bertaraf amatur.
“Sukan SEA yang lepas, kami mempunyai pemain yang bagus, keenam-enam mereka tidak dapat ikut serta kerana pertembungan kejohanan, pemain terikat dengan kejohanan di bawah Persatuan Atletik Kolej Nasional (NCAA). Tahun ini kita juga menghadapi masalah yang sama.
BERITA BERKAITAN WAGC pentas terbaik cungkil bakat pemain golf muda ke Sukan SEA 2023
“Tahun ini Majlis Olimpik Malaysia minta untuk tiga emas, tetapi ia mustahil, diharapkan kami dapat satu emas tahun ini, mungkin kita sasarkan berpasukan, (kategori) individu tak dapat, berpasukan lelaki atau wanita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kerjasama Penajaan Program Pembangunan Remaja Kebangsaan MGA di Shah Alam hari ini.
Pada Sukan SEA Hanoi 2021 yang diadakan tahun lepas, skuad kebangsaan berjaya membawa pulang dua emas, satu perak dan satu gangsa.
Mohd Anwar berkata MGA bakal mengumumkan senarai empat pemain lelaki dan tiga wanita yang akan menggalas cabaran ke temasya dwitahunan itu, 26 April ini.
Terdahulu, persatuan itu memeterai kerjasama dengan tiga penaja iaitu Colla Group, Reneuco Berhad dan NJDP Training Grant Worth bagi Program Pembangunan Remaja Kebangsaan MGA.
Katanya program yang berlangsung selama enam bulan itu adalah bagi memberi pendedahan kepada atlet golf remaja kebangsaan dalam mempersiapkan diri menghadapi kejohanan antarabangsa.
Beliau juga berkata, MGA kini giat melaksanakan pelbagai program pembangunan golf untuk pemain muda yang akan dilaksanakan empoh enam bulan akan datang bagi mencungkil bakat pemain golf.
Antara program tersebut ialah memastikan pemain-pemain muda negara berada di bawah satu bumbung di bawha MGA, memastikan kejohanan-kejohanan golf remaja tidak menggangu waktu persekolahan dan pembelajaran para pemain, selain menghantar pemain remaja tempatan ke kejohanan antarabangsa.
“Kita hendak memastikan pemain golf kita mempunyai pendidikan tinggi seperti ketika ini terdapat 60 pemain golf dari negara ini sedang mengikuti pelajaran di Amerika Syarikat, selain yang melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia yang mempunyai program khas pembangunan golf,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

