PEMAIN hoki wanita, Hanis Nadiah Onn digantung daripada mewakili pasukan kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Kemboja 2023, Mei depan.
Ia susulan kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkannya membabitkan konsert artis dan komposer, AR Rahman, 28 Januari lalu.
Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan, jawatankuasa siasatan mendapati Hanis Nadiah telah bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain.
Menurut KBS, pemain berusia 26 tahun itu juga didapati bersalah kerana ciapan komen yang boleh disalah erti atau menimbulkan salah faham, kegusaran atau pun kemarahan sesuatu pihak lain.
“Sebagai pemain hoki negara, Hanis Nadiah didapati bersalah kerana telah membuat komen yang mengakibatkan kerosakan kepada imej pasukan dan KHM yang jelas melanggar kod etika KHM.
“Sehubungan itu, jawatankuasa siasatan memutuskan untuk KHM tidak mempertimbangkan Hanis daripada mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Kemboja 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, KBS memberitahu, KHM akan menilai semula keputusan tersebut sekiranya pemain berkenaan mempamerkan perubahan sikap positif sepanjang tempoh berkenaan.
Baca artikel berkaitan: Hoki: Speedy Tigers mahu kutip tiga mata jumpa Chile
Katanya, jawatankuasa berkenaan turut berharap tindakan tersebut menjadi ingatan dan pengajaran berguna kepada Hanis serta semua atlet negara untuk sentiasa berhati-hati dengan sebarang hantaran atau pun ciapan di semua platform media sosial.
Dalam siasatan yang dijalankan, KBS memaklumkan, Hanis mengakui memuatnaik ciapan komen berbunyi bau best la kat dalam tu berserta emoji tertawa sehingga mengeluarkan air mata.
Namun, Hanis Nadiah menegaskan tidak mempunyai sebarang sentimen perkauman semasa memuatnaik ciapan yang sekadar jenaka dan merujuk kepada keadaan stadium dipenuhi puluhan ribu penonton.
KBS berkata, pemain yang pernah membantu negara meraih pingat emas dalam Sukan SEA 2015 dan 2017 itu hanya menyedari wujudnya elemen berbaur perkauman setelah ditegur netizen.
“Ekoran daripada teguran itu, beliau telah memadam komen pada pagi 29 Januari dan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi laman media sosialnya ekoran kekhilafan itu.
“Hanis mengakui amat kesal dengan keterlanjuran ciapannya dan menegaskan bahawa beliau bukan seorang yang rasis dan membesar dalam masyarakat majmuk di Kluang, Johor serta memiliki ramai rakan berbangsa India, terutamanya sebagai atlet negara.
”Jawatankuasa Siasatan juga telah memanggil jurulatih skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim yang menyatakan sebagai pemain utama pasukan, Hanis memiliki perwatakan merendah diri serta berdisiplin tinggi sepanjang latihan dan kejohanan.
”Mohd Nasihin juga mengakui Hanis memiliki ramai rakan-rakan hoki dalam kalangan bangsa India dan mereka bergaul rapat tanpa masalah ekoran sifatnya yang mudah mesra dengan rakan sepasukan,” kata kenyataan tersebut.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

