Sebagaimana yang dinyatakan dalam artikel sebelum ini, ibadah yang kita lakukan setiap hari sebenarnya boleh diukur tahap kekhusyukkannya dengan menggunakan alat ukur spiritual atau rohani.
Terdapat pelbagai pendekatan yang diguna pakai oleh saintis untuk mengukur skala spiritual individu dalam ibadah. Antara yang popular adalah Inventori Psikometri dan Biofeedback.
Inventori Psikometri: Teknik konvensional ini menggunakan ujian psikometri. Alat ukur ini menggunakan senarai semak yang menggambarkan fungsi komponen rohani seperti emosi, warak, integriti, gelisah, tekanan dan seumpamanya. Alat ukur ini menggunakan senarai semak yang menggambarkan fungsi komponen rohani individu.
Melalui alat ukur ini, tahap sifat rohani seseorang individu boleh diukur dan diberikan skala bagi menggambarkan sifat rohani yang tidak mampu dilihat oleh manusia. Penggunaan teknik ini amat bergantung kepada sejauh mana kejujuran dan kefahaman individu yang memberikan jawapan kepada skala yang disoal. Ia lebih kepada borang soal selidik yang memerlukan individu menentukan sendiri skala melalui soalan yang diberi.
Biofeedback: Ini merupakan teknik terkini yang digunakan untuk mengukur sejauh mana komponen rohani berfungsi melalui perubahan komponen fisiologi. Melalui teknik ini perubahan sifat hati, minda, dan emosi dikesan menggunakan sensor khas yang dipakaikan kepada tubuh individu.
Teknik ini menggunakan konsep perkaitan antara komponen fisiologi dan rohani. Pengukuran dibuat terhadap perubahan komponen fisiologi melalui perubahan komponen rohani seperti hati, minda, emosi, nafsu dan roh.
Melalui teknik ini, sensor atau alat pengesan dipakaikan kepada individu. “Encoder” (alat pengukuran) disambungkan kepada komputer yang memproses data dari sensor, sebelum data berkenaan dipindahkan ke komputer untuk diproses.
Data yang diterima oleh komputer akan dianalisis dan dipaparkan kepada pengguna. Sebarang perubahan komponen spiritual akan dikesan oleh sensor dan dipaparkan kepada pengguna berkenaan statusnya.
Dalam pada itu menurut Prof. Madya Dr. Muhammad Nubli Abdul Wahab, Penyelaras Makmal Biofeedback, Jabatan Sains Kemanusiaan, Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kami telah menjalankan kajian bagi melihat sendiri kesan solat khusyuk kepada pelajar.
Salah satu tujuan pengukuran adalah melihat sejauh mana solat yang dilaksanakan mengikut tatacara yang ditunjukkan oleh Baginda s.a.w. benar-benar mendatangkan kesan kepada individu. Ataupun sebaliknya, solat yang dilaksanakan secara tidak tertib dan tidak bersungguh-sungguh tidak memberikan kepada perubahan seperti yang dijanjikan oleh Allah.

Hasil dari kajian yang dilakukan menunjukkan solat yang sempurna dan dilakukan dengan tertib, tawaduk serta mengikut tatacara Baginda s.a.w. memberikan kesan yang positif kepada individu tersebut.
Ukuran dapatan menunjukkan ia menjadikan minda lebih fokus, hati menjadi tenang, kulit lebih berupaya mengalirkan arus kerana lebih banyak darah atau pengaliran lebih lancar. Manakala otot-otot tubuh menjadi kendur dan pernafasan pula menghampiri pernafasan resonans.
Sebaliknya, solat yang tidak disempurnakan dengan tertib maka ia tidak memberikan banyak kesan dan perubahan kepada individu tersebut. Secara langsung teknik ini boleh digunakan untuk membantu individu mempelajari kaedah untuk mendapatkan solat yang lebih sempurna.
Kongsinya lagi, bukan hanya dalam ibadah solat sahaja, bahkan dalam ibadah lain, jika dilakukan dengan bersungguh dan sempurna juga dapat memberi perubahan positif terhadap individu tersebut. Buktinya terdapat kajian yang dilakukan berkaitan amalan taubat kepada individu. Hasil kajian mendapati taubat yang dilakukan secara istiqomah dan berterusan memberi kesan terhadap minda, hati dan tubuh.
Keutamaan Zikir tahlil dan selawat
Bagaimana pula dengan bacaan Al-Quran dan berzikir? Adakah alat tersebut boleh membuktikan surah ar-Ra’d ayat 28? Untuk mengetahuinya, Dr. Muhammad Nubli juga telah menjalankan kajian terhadap pembacaan al-Quran mahupun amalan zikir bagi individu.
Dan, ini hasilnya. Dapatan kajian menunjukkan bacaan al-Quran dengan tartil secara berterusan memberikan kesan yang jelas terhadap hati, minda dan kulit. Bahkan zikir tahlil dan selawat memberikan darjah perubahan yang paling besar kepada individu berbanding amalan zikir lain. Keadaan ini menambahkan lagi keyakinan bahawa amalan zikir, tahlil dan selawat yang betul memberikan manfaat kepada komponen rohani manusia.
Ia secara langsung menzahirkan firman Allah dalam surah ar-Ra’d ayat 28, “
(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah (zikrullah). Ingatlah hanya dengan mengingati Allah (zikrullah) hati menjadi tenteram.”
Tegas Dr. Muhammad Nubli, apa yang penting dalam ibadat adalah 2 komponen ini iaitu pemahaman dan penghayatan. Dua perkara itu akan memberikan kesan maksima kepada perubahan diri.
Tanpa kedua-duanya, buatlah sebanyak mana pun ibadah wajib dan sunat, ia tidak akan memberi kesan perubahan kepada diri. Maka itu pengukuran kesan amalan kerohanian sangat penting supaya setiap kita berupaya memahami dengan jelas di mana kedudukan ibadahnya di sisi Allah.
Ia tidak lain bagi meraih kejayaan di sisi Allah di dunia mahupun akhirat. Firman Allah dalam surah as-Syams ayat 9 & 10,
“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) bertambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). dan sesungguhnya rugilah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) susut dan hilang kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
___________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

