PENYANYI Baby Shima seringkali terpalit dengan kontroversi membabitkan pakaiannya yang terlalu ketat dan agak seksi sehingga menerima respon negatif daripada orang ramai.
Namun, kali ini lain pula ceritanya apabila netizen memuji penampilan Baby Shima yang menutup aurat dan berhijab ketika membuat persembahan di Kuantan, Pahang bersempena dengan sambutan Israk & Mikraj, semalam.
“Selesai bergoyang ya habibi hari ini. Lain kali datang dulu sebelum berkata-kata,” katanya.
Menerusi hantaran sama di Instagram, Shima atau Nor Ashima Ramli,30, meluahkan rasa kesal kepada segelintir pihak yang meletakkan tanggapan negatif terhadap dirinya.
Kata Shima, dia sedar ada yang mendakwa pemilihannya sebagai penyanyi jemputan bagi meraikan Hari Bandaraya Mesra Komuniti di Padang Sungai Isap Damai, Kuantan, Pahang itu tidak sesuai lebih-lebih ia diadakan pada sambutan Israk & Mikraj.
“Bila Shima dapat tahu ada acara dan hari Israk Mikraj, saya sendiri yang ingin tampil sebegini.
“Tapi ramai pula memilih untuk berkata-kata dulu sebelum melihat, sampai ada yang berkata Shima tidak hormat hari mulia ini iaitu hari Israk Mikraj.
“Padahal mereka belum melihat dulu penampilan yang akan Shima persembahkan di bulan yang mulia ini. Sempena Israk Mikraj ini, Shima tahu menyesuaikan diri dalam majlis tanpa disuruh sesiapa,” tulisnya.
Shima turut berkongsi video dirinya sedang membuat persembahan dengan berpakaian baju kurung jingga dan memilih tudung yang menutup dada.