SATU usul tergempar dikemukakan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini bagi memohon perbahasan mengenai pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.
Usul tergempar yang dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 18(1) itu dibenar dibacakan Shahidan walaupun telah ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.
Menurut Shahidan, beliau meminta Dewan Rakyat membahas dan menggesa kerajaan supaya menyegerakan pengeluaran KWSP secara bersasar oleh pencarum.
Kata beliau, pengeluaran itu menjadi kepentingan utama orang awam ketika ini apatah lagi wang KWSP merupakan hak milik mereka.
“Pencarum sudah semakin terdesak, tambahan pula harga barang semakin naik dan kos sara hidup yang meningkat saban hari.
“Ada yang terpaksa menjual harta dan tinggal sehelai sepinggang. Sudah menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen untuk mengotakan janji membantu rakyat.
“Oleh demikian, saya rasa isu ini perlu disegerakan untuk dibincangkan kerana Kerajaan Perpaduan boleh mengambil langkah sama seperti dilakukan sewaktu era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub sebagai Perdana Menteri iaitu membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar dan berperingkat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Baca artikel berkaitan: Menu Rahmah hanya populis, rakyat nak KWSP dan kenaikan gaji
Mengulas lanjut, Shahidan menegaskan pencarum mempunyai hak selaras dengan Seksyen 54 Akta KWSP 1991 yang memberi kuasa kepada KWSP membenarkan pengeluaran caruman bagi tujuan pembiayaan kelangsungan hidup.
Jelas beliau, pencarum amat memerlukan wang simpanan titik peluh dengan segera sebelum sesi persekolahan 2023 dibuka menjelang 19 dan 20 Mac depan.
Tambahan pula, Shahidan berkata, umat Islam juga akan menyambut bulan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.
“Berdasarkan laporan KWSP pada Disember tahun lalu, terdapat peningkatan pencarum, majikan dan pencarum aktif. Ini bererti aliran tunai tak jadi masalah (buat KWSP),” katanya.
Terdahulu, Johari membuat keputusan ‘luar biasa’ membenarkan Shahidan membaca usul tergempar berkenaan walaupun ia telah ditolak sebelum itu.
Walaupun telah ditolak untuk dibahaskan, namun Johari meminta Shahidan membawa semula usul tersebut ketika perbahasan Belanjawan 2023 dijadualkan Isnin depan.
“Insya-Allah, sesi Bajet 2023 akan berlaku selepas 24 Februari. Saya harap Arau bawa isu ini sekali lagi untuk dibahaskan,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

