CUBA bayangkan bila anda mengeliat lalu tiba-tiba terkehel? Atau semasa anda menggerakakan badan, tiba-tiba ada otot yang terkeluar daripada kedudukan asalnya? Membayangkannya saja sudah berasa ngilu, apatah lagi jika mengalaminya.
Namun, itulah yang dialami oleh penghidap sindrom ‘hypermobility’. Ia merupakan penyakit ganjil di mana sindrom ini ini menyebabkan otot seseorang terkeluar daripada kedudukan asal dengan mudah. Lebih mengerikan, ia terjadi secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda.
Nicola Lynch salah seorang individu yang mengalami sindrom ini. Dia mula mengalami sindrom ‘terkehel’ ini sejak berusia 12 tahun. Ketika itu, Lynch sedang bermain bersama rakan-rakannya. Tanpa diduga, ibu jarinya terkehel selepas dia menarik baju salah seorang rakannya. Dia menangis kesakitan.
Bagaimanapun, cerita itu tidak berakhir di situ. Bermula dari bahagian tangan, keadaan terkehel itu mula kerap dialaminya dan berpindah ke anggota lain seperti bahu, punggung, buku lali dan rahang.
Bayangkan pada tahun 2014, Lynch dilaporkan terkehel selama 80 kali dalam tempoh enam tahun, 25 kali pada ibu jari dan 50 kali di bahagian punggung. Gadis ini juga terpaksa melalui keadaan terkehel tiga kali dalam tempoh seminggu pada buku lali. Jumlah itu kian bertambah dari masa ke semasa.

Malah, penyakit aneh ini turut menyerang bahagian rahangnya. Ketika berumur 18 tahun semasa sedang menikmati makan malam bersama keluarga, Lynch memesan burger sebagai menu pilihan. Baru saja dia mahu menyuap makanan ke dalam mulut, tidak semena-mena rahangnya terkehel menyebabkan dia dikejarkan ke hospital.
Sejak itu, rahang Lynch semakin kerap terkehel selepas insiden berkenaan. Keadaan itu bertambah parah apabila dia dilaporkan mengalami sebanyak 250 kehelan di sekitar bahagian mulut. Malah pernah jumlah tersebut dirasai dalam tempoh sehari, bermakna rahangnya terkehel 250 kali sehari! Fuhh, kita yang membacanya pun terasa ngeri. Bayangkan penghidap sindrom ini yang terpaksa melalui keadaan begitu sepanjang masa.
Penyakit ini menyebabkan Lynch tidak boleh melakukan banyak perkara. Dia tidak boleh mengangkat barang berat, malah beg kertas membeli-belah sekalipun dianggap berat untuk pesakit sepertinya. Dia juga mengalami kesukaran untuk berjalan dan menaiki tangga. Jika perlu, dia terpaksa melakukannya dengan berhati-hati bagi mengelakkan dirinya terkehel.
Begitu juga dengan rutin sebagai seorang pelajar turut terkesan. Pernah pada satu hari, Lynch pitam ketika berada di kolej. Selepas tersedar, dia merasai sakit yang kuat. Rupa-rupanya, bahagian punggung dan bahu sudah teralih dari kedudukan asal. Gadis malang ini tidak dapat berbuat apa-apa selain hanya mampu mengerang kesakitan sebelum dibawa ke pusat perubatan untuk diberikan rawatan oleh doktor.

Sindrom Hypermobility merupakan keadaan biasa yang berlaku dalam kalangan manusia. Menurut laporan Persatuan Kajian Artritis United Kingdom, Hypermobility yang dialami kebanyakan individu biasanya tidak mengalami sebarang tanda-tanda sebagai gejala penyakit. Contohnya, penari dan pemuzik dapat menggunakan keadaan ini sebagai satu kelebihan di dalam kerjaya mereka.
Walau bagaimanapun, terdapat sekumpulan kecil individu mengalami ‘Hypermobility’ luar biasa di mana ia disertai dengan rasa sakit. Keadaan ini disebut sebagai ‘Joint Hypermobility Syndrome’ seperti yang dihidapi oleh Lynch.
Potensi pesakit untuk sembuh seperti sedia kala agak sukar. Hanya dengan rawatan, ubat-ubatan, terapi fizikal dan pembedahan merupakan alternatif yang membantu merawat dan mengatasi gejala yang timbul akibat sindrom aneh ini.
_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/

