Hukum menutup kepala dalam tandas dan manfaatnya kepada kesihatan

Dari Penulis

Kita mungkin biasa mendengar kata orang-orang tua, apabila masuk ke dalam tandas untuk membuang air, hendaklah menutup kepala, jika tidak, maka kepala kita akan dikencingkan oleh syaitan. Implikasi dari terkenanya kencing syaitan itu, akan menyebabkan pemikiran dan tingkah laku menjadi lembap atau dungu.

Ironinya, sejauh mana syaitan akan mengencingi kita sewaktu beristinjak di dalam tandas kerana tidak ada nas atau dalil yang sahih, bagi membuktikan kata-kata tersebut. Memang terdapat hadis dari Sunan al-Bayhaqi yang menyatakan keperluan menutup kepala sewaktu masuk tandas sebagaimana yang diamalkan Nabi sa.w.

Hadis tersebut menyatakan,

“Telah berkata Aisyah r.ha. apabila Rasulullah s.a.w. masuk dalam tandas, maka Baginda akan menutup kepalanya, dan apabila mendatangi isteri, Baginda juga akan menutup kepalanya.”

Hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dalam kitabnya al-Sunan al-Kubra dan al-Dhahabi dalam Muhadhab fi Ikhtisar al-Sunan al-Kabir. Namun begitu, menurut al-Bayhaqi, hadis ini perlu ditinggalkan kerana, terdapat seorang perawi yang bernama Muhammad Yunus al- Kudaymi. Dia merupakan seorang perawi yang bersifat lemah.

Pendapat ini turut disokong oleh al-Dhahabi yang mengatakan, al-Kudaymi adalah seorang penipu. Menurut Ibnu Adi, al-Kudaymi, seorang pemalsu hadis, manakala Ibnu Hibban pula mengatakan, kemungkinan besar al-Kudaymi telah memalsukan lebih dari 1000 hadis.

Selain itu terdapat juga hadis lain, riwayat Habib bin Salih yang mengatakan,

“Baginda s.a.w. apabila memasuki tandas, maka beliau akan mengenakan kasut dan menutup kepalanya.”

Menurut al-Bayhaqi, hadis ini bersifat mursal kerana ia telah diriwayatkan oleh tabiien tanpa menyebut sahabat yang meriwayatkannya sendiri dari Rasulullah s.a.w. Dan Habib Salih adalah tabiien yang tidak pernah bertemu Rasulullah s.a.w.

Bahkan menurut al-Bayhaqi,  terdapat seorang perawinya yang bernama Abu Bakr Abdullah Abi Maryam, adalah seorang periwayat yang lemah. Pendapat ini turut disokong oleh Ibn Hibban yang menyatakan Abu Bakr seorang yang lemah ingatan. Apabila dia menyampaikan dia melakukan kesilapan, oleh itu dia perlu ditinggalkan.

Hakikatnya, ramai lagi ulama hadis yang menghukumkan Abu Bakr seorang yang tidak boleh dipercayai, mungkar dan perlu ditinggalkan. Antara ulama yang menghukumkan sedemikian adalah Abu Zur’ah ar-Razi, al-Daraqutni, Ahmad b. Hambal dan ramai lagi.

Kedua-dua hadis yang menunjukkan Nabi menutup kepala sewaktu dalam tandas, adalah bersifat mungkar dan dhaif. Maka ia tidak boleh dijadikan hujah dan bukti bagi menunjukkan perlunya menutup kepala sewaktu berada dalam tandas.

Namun begitu, dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah, telah berkata Abu Bakar r.a,

“Wahai orang Islam, malulah kepada Allah. Demi Yang aku berada di tangan Nya, ketika pergi ke tempat lapang untuk qada hajat, hendaklah dalam keadaan menutup kepala kerana malu kepada Tuhan ku.”

Keterangan di atas jelas menunjukkan hadis berkaitan menutup kepala itu bersifat daif, hanya daripada riwayat Abu Bakar r.a sahaja yang sahih. Maka ini juga menunjukkan, syaitan yang dikatakan mengencingi atas kepala kita juga tiada nas yang jelas dan sahih.

Bacalah doa

Tandas merupakan rumah bagi syaitan dan tempat yang kotor. Oleh itu, mereka akan cuba sedaya upaya untuk menguasai seseorang Muslim setiap kali orang itu masuk ke dalam tandas. Hakikatnya, Rasulullah s.a.w. telah mengajarkan kepada kita bahawa, apabila hendak masuk ke dalam tandas, hendaklah membaca doa supaya dihindari dari gangguan syaitan.

Ini yang betul dan setepatnya. Apabila sudah membaca doa, maka secara tidak langsung kita terhindar dari gangguan syaitan dan mendapat perlindungan Allah.

Rasulullah s.a.w. apabila masuk tandas, Baginda akan membaca doa perlindungan iaitu,

“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Mu dari sebarang kekotoran dan gangguan syaitan.” (HR Bukhari & Muslim)

Maka amalkanlah membaca doa sewaktu masuk dan keluar tandas, kerana itu adalah amalan Rasulullah s.a.w. dan juga para sahabat. Islam adalah gaya hidup, bermakna apa yang disyariatkan perlu dilakukan, supaya memperoleh kehidupan yang diberkati.

Hikmah Menutup Kepala

Mengikut kajian yang pernah dilakukan, menutup kepala mampu menjaga otak dari sebarang implikasi terutama melibatkan suhu. Artikel bertajuk The Science Behind The Veil menyatakan, ujian-ujian menunjukkan, 40 hingga 60 peratus kepanasan badan seseorang hilang melalui kepala. Justeru, menutupnya, terutama di musim sejuk, dapat mengawal suhu badan seseorang.

V. G Rocine seorang pakar otak mengatakan, fosforus otak akan menjadi cair pada suhu 108 darjah fahrenhait. Keadaan ini boleh berlaku sekiranya, seseorang berada di bawah keadaan panas terik tanpa menutup kepala. Apabila fosforus cair, fungsi otak akan menurun dan ini akan menyebabkan komplikasi pada otak sama ada lemah daya ingatan, mudah stres, migrain  dan lain-lain.

Selain itu, dalam artikel Highest Phosphorus Foods di Canadian Neuro Optic Research Institute turut menyatakan yang sama, sekiranya suhu badan seseorang mencecah lebih dari  105 darjah fahrenheit, ia amat berbahaya, kerana fosforus otak akan mencair dan menjejaskan kesihatan otak.

Dikatakan juga, menutup kepala dapat menjaga dan melindungi hipotalamus, iaitu salah satu bahagian otak dari tercedera. Bahagian ini yang mengawal kebanyakan fungsi tubuh. Ia terletak di tengah-tengah pangkal otak, dan sebahagian lain berada di dalam tulang dikenali sebagai cell tursica. Dengan menutup kepala, secara tidak langsung dapat menjaga hipotalamus, dan memelihara keseimbangan tubuh yang lain.

Hakikatnya begitu banyak hikmah menutup kepala, bukan hanya kepada wanita, tetapi lelaki juga. Kita lihat, boleh dikatakan dalam setiap lapangan pekerjaan, seperti polis, jururawat, jurutera, chef dan sebagainya, menutup kepala seakan satu keperluan yang amat penting.

Ia bukan sahaja dapat melindungi kepala dari bahaya, bahkan dapat, memelihara peribadi, melindungi aib seseorang dan menjaga kesihatan.

Ingatlah setiap apa yang dibawa, diajar dan diamalkan oleh Baginda s.a.w. serta yang disyariatkan Islam, adalah sesuatu yang membawa dan memberi kebaikan pada diri, keluarga dan masyarakat. Oleh itu amalkanlah ia dalam kehidupan sehari-hari. Wallahu a’lam

_______________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This